Home Nasional UM ikut prosedur kendali pelajar China

UM ikut prosedur kendali pelajar China

Kolej Kediaman Ke-10, Universiti Malaya.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menjelaskan universiti itu mewajibkan prosedur Pengawasan Terpusat selama 14 hari untuk semua pelajar baru, sedia ada dan juga pelajar program mobiliti yang berasal dan/atau baru pulang dari negara China.3

Para pelajar terbabit akan melalui proses saringan kesihatan dan pemantauan harian oleh pasukan perubatan universiti yang telah ditempatkan di lokasi yang sama.

Prosedur Pengawasan Terpusat yang dijalankan di Kolej Kediaman ke-10 (KK10) adalah berdasarkan protokol yang dirangka selari dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jelasnya, prosedur ini diwajibkan bagi memudahkan para pelajar terbabit melakukan proses pengawasan tersebut dan sekiranya ada para pelajar yang mengalami sebarang simptom dan tanda, mereka akan dapat diuruskan dengan protokol yang sewajarnya dengan kadar segera, bersama bantuan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Ia juga bagi mengelakkan para pelajar terbabit berada berhampiran dengan warga kampus lain sepanjang mereka berada dalam tempoh pengawasan tersebut. Ini akan  mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain terutamanya kepada lebih 30,000 warga kampus yang ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Universiti itu berkata demikian selepas sebuah akhbar tempatan mengulas mengenai sukarelawan UM yang didakwa diminta menguruskan penuntut China di Kolej Kediaman 10.

Laporan itu menyebut sejumlah 550 penuntut dari China yang pulang ke kampus itu mendaftar pada 5 Februari lepas dan sukarelawan tidak diberi latihan khusus bagi mengendalikan penuntut China, terutamanya selepas isu Covid-19.

Berikutan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan tidak menerima makluman mengenai dakwaan tersebut dan memaklumkan Kementerian Pendidikan akan menyusuli perkara itu untuk sebarang tindakan lanjut.

Mengulas dakwaan itu, UM berkata, para pelajar yang diwajibkan melalui prosedur ini adalah individu sihat yang tidak menunjukkan sebarang simptom dan tanda tetapi perlu melakukan pengawasan kesihatan sendiri untuk tempoh 14 hari dari tarikh kepulangan mereka.

Justeru, tiada keperluan untuk mereka dikuarantin dan mereka wajar dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti di dalam kawasan KK10 secara bersama, selagi mereka tidak menunjukkan sebarang simptom.

Menurut UM, keseluruhan proses pemeriksaan kesihatan dilakukan sepenuhnya oleh pasukan perubatan Universiti Malaya di bawah Klinik Kesihatan Pelajar yang terdiri daripada pegawai perubatan dan ahli paramedik.

Pada masa yang sama, terdapat sekumpulan 14 orang sukarelawan pelajar yang pada asalnya berada di KK10 bagi memberikan perkhidmatan sukarela mereka bagi program yang berbeza.

Namun apabila universiti mengambil keputusan untuk melaksanakan prosedur Pengawasan Terpusat ini, mereka secara sukarela menawarkan diri untuk membantu atas dasar kemanusiaan.

Tetapi, penglibatan para sukarelawan ini telah diambil alih secara beransur-ansur oleh kakitangan universiti bagi memberikan mereka ruang persedian sebelum kuliah bermula dan sebagai langkah pengawalan risiko.

Menurutnya, kesemua petugas dan sukarelawan telah diberikan taklimat berhubung tatacara pencegahan dan kawalan jangkitan dan dibekalkan dengan topeng muka dan bahan pembersih tangan, selain memastikan kawasan bekerja para petugas dan sukarelawan adalah bersih dan terkawal.

Memandangkan prosedur Pengawasan Terpusat ini dijalankan di dalam kawasan kampus, UM tidak berkompromi dalam  memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga kampus yang  sentiasa menjadi keutamaannya. – MalaysiaGazette