Home Nasional Baki enam penumpang Westerdam disahkan negatif Covid-19

Baki enam penumpang Westerdam disahkan negatif Covid-19

Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Keputusan ujian pengesanan Covid-19 yang dijalankan ke atas baki enam penumpang kapal persiaran Westerdam menunjukkan kesemuanya negatif  jangkitan virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua enam orang penumpang berkenaan yang mana empat daripadanya adalah warga Amerika Syarikat dan dua lagi warga Netherlands boleh dibenarkan untuk menaiki penerbangan selanjutnya.

“Keputusan ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan pada 16 Februari 2020 ke atas mereka baru sahaja diperolehi daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan mereka disahkan negatif untuk jangkitan tersebut.

“Sehubungan itu, pihak kedutaan yang berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan ujian ini dan mereka akan dibenarkan untuk menaiki penerbangan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing yang selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Keenam-enam penumpang berkenaan masih lagi berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam satu sidang media petang tadi memberitahu, terdapat baki enam daripada 145 penumpang pesawat sewa khas MAS dari Sihanoukville ke KLIA masih berada di lapangan terbang berkenaan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi asing masing-masing.

Dalam pada itu, agensi berita antarabangsa memetik kenyataan Kedutaan Belanda melaporkan terdapat sekumpulan penumpang  antaranya warga Belanda tidak dibenarkan menaiki pesawat KLM yang berlepas ke Amsterdam dari KLIA.

Mereka merupakan antara penumpang kapal persiaran Westerdam.- MalaysiaGazette

Malaysia halang semua kapal yang pernah berlabuh di China masuki negara

Penumpang Westerdam dihalang naiki pesawat KLM di KLIA