Home Nasional Energy Candy beracun, berhenti beli produk ini – KKM

Energy Candy beracun, berhenti beli produk ini – KKM

Energy Candy produk terlarang yang kini dilarang dijual di negara ini.

KUALA LUMPUR Hasil analisis makmal ke atas produk Energy Candy yang dipercayai diimport disahkan mengandungi racun berjadual tadalafil iaitu bahan yang dilarang penggunaannya dalam makanan di di bawah Akta Makanan 1983.

Produk yang terlibat adalah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

Ujian makmal itu dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan tular produk Energy Candy yang didakwa mengandungi bahan terlarang itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk).

“Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

“Penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” katanya.

Sehubungan itu, Noor Hisham berkata, larangan pengimportan telah dikeluarkan serta merta sambil  memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan dalam talian.

Katanya, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Beliau juga menasihatkan pengguna supaya tidak membeli produk tersebut.

“Sekiranya telah membeli, tidak memakannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. – MalaysiaGazette