KAJANG – Lima serbuan yang dilakukan di Bandar Baru Bangi dan Pulau Pinang pada 11 hingga 15 Februari lalu berjaya mematahkan cubaan menyeludup sejumlah 187 kilogram mampatan ganja.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, hasil serbuan itu polis menahan dua pasang suami isteri dan seorang penuntut universiti.
“Kesemua ganja dianggarkan 187.1 kilogram dan boleh dibekalkan kepada 37,420 penagih ganja dalam masa sehari dengan mengambil kiraan pengguna sebanyak 5 gram sehari.
“Kesemua tangkapan sudah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di antara 12 Februari hingga 21 Februari depan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api,” kata Noor Azam dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini.
Menurut Noor Azam, serbuan pertama, kedua dan ketiga dibuat di Bandar Baru Bangi dan Sungai Ramal Dalam, Kajang dan berjaya menahan sepasang suami isteri.
Turut ditahan seorang penuntut universiti berumur 24 tahun yang positif ganja.
Bertindak daripada serbuan itu, tiga lagi serbuan dilakukan di Pulau Pinang dan tiga lagi tangkapan dibuat.
Dua serbuan yang dibuat berjaya menahan sepasang suami isteri dan bapa kepada pasangan suami isteri pertama yang ditahan.
“Sindiket dipercayai aktif, sudah lima tahun dan bekalan dipercayai diperolehi daripada negara jiran.
“Hasil siasatan kita dapati di sebelah utara adalah pembekal dan di Selangor adalah untuk dijual,” katanya.
Ini merupakan sindiket kelima yang berjaya dipatahkan polis Selangor pada tahun ini. -MalaysiaGazette