Home Nasional Lelaki dikhuatiri lemas jatuh di Sungai Puchong

Lelaki dikhuatiri lemas jatuh di Sungai Puchong

Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mencari seorang lelaki yang terjatuh di Sungai Puchong har ini Gmbar: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam Sungai Puchong berhampiran bangunan Indah Water, di Taman Angkasa di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerusi kenyataan memberitahu, seorang wanita terlihat dua mangsa terapung-apung pada permukaan sungai di lokasi berkenaan pada pukul 11.28 pagi tadi.

Menurut jurucakap tersebut, wanita itu kemudiannya menghubungi Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGO KL) meminta bantuan kecemasan untuk menyelamatkan mangsa.

Katanya, seramai 20 anggota dari Balai Bomba Bukit Jalil, Balai Bomba Sri Petaling dan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) digegaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada pengadu yang dikenali dengan nama Noor Ain.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian seorang daripada mangsa lemas tersebut telah diselamatkan oleh orang awam manakala, seorang lagi mangsa yang lemas telah hanyut dibawa arus,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, mangsa yang selamat iaitu seorang lelaki dewasa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan ambulans.

Ujarnya, ketika ini anggota Bomba dan Unit PPDA sedang melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dengan pencarian menggunakan kayak sepanjang Sungai Puchong menghala ke Puchong. – MalaysiaGazette