Home Utama Syarikat minyak perlu promosi gas asli, tenaga diperbaharui – PM

Syarikat minyak perlu promosi gas asli, tenaga diperbaharui – PM

Najib Tun Razak (dua kiri) diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin melancarkan Loji Penapisan Terapung Gas Asli Cecair (PFLNG Satu) pada malis perasmian Persidangan Minyak dan Gas Asia ke 19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat minyak dan gas dan kerajaan perlu membentuk satu kerjasama pintar untuk membuka potensi penuh gas asli sebagai salah satu pilihan yang baik dari segi komersial dan alam sekitar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini akan menjadikan nilai komersial gas asli dan isu alam sekitar dapat diselesaikan bersama-sama dan bukannya berlaku penentangan terhadap kedua-dua subjek berkenaan.

“Saya percaya syarikat minyak dan gas boleh mempromosikan penggunaan gas asli serta tenaga diperbaharui sebagai pilihan yang lebih bersih untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Ini adalah masa yang terbaik untuk menggalakkan penggunaan gas asli di dalam pasaran -pasaran baharu kerana harganya lebih menarik dibantu oleh pelaburan betul dalam infrastruktur,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-19 di sini hari ini.

Pada majlis yang sama Perdana Menteri turut merasmikan Loji Terapung Penapisan Gas Asli Cecair Petronas Satu (PFLNG Satu).

Tambahnya, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan permintaan tenaga global akan meningkat dua kali ganda pada 2050 didorong oleh pertambahan penduduk dunia.

Dengan itu, Najib menyeru pemain-pemain industri supaya bekerja lebih keras dan mengukuhkan strategi untuk kekal relavan dalam jangka masa panjang.

Katanya, penemuan gas yang banyak di Asia Barat, Asia Pasifik dan Australia telah banyak membantu menyuburkan pertumbuhan industri gas asli cecair (LNG).

“Pertumbuhan memberangsangkan dengan menyaksikan lebih banyak pengeluar, bekalan serta harga gas yang kompetitif telah menukarkan LNG kepada sebuah sumber tenaga yang menarik bagi negara pesat membangun.

“Perkembangan ini juga memberi manfaat dari segi pengurangan pelepasan karbon.

“Saya sangat percaya pemain-pemain industri boleh bekerjasama untuk menyokong penggunaan LNG dengan menawarkan penyelesaian komersial dan bantuan teknikal kepada negara-nrgara yang mempunyai minat di dalam sektor ini,” katanya.- MalaysiaGazette