CYBERJAYA – Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberi bayangan peneraju Agrobank yang baharu adalah seorang wanita.
Berucap di majlis pelancaran Geran Padanan Pendigitalan di sini hari ini, Guan Eng menyentuh mengenai inisiatif untuk memperkasakan wanita yang telah dilaksanakan oleh Pakatan Harapan sejak menjadi kerajaan hampir dua tahun lepas.
Beliau turut menyebut beberapa nama yang telah dilantik untuk menerajui pelbagai organisasi termasuklah Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd., Datuk Zaiton Mohd. Hassan, Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri malah Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya.
“Kita sudah mempunyai ramai wanita yang telah dilantik untuk menjadi peneraju di pelbagai organisasi sama ada bank atau agensi-agensi kerajaan malah sebagai Ketua Hakim Negara.
“Ini kali pertama saya bertemu dengan Pengerusi BSN baharu Rossana Annizah Rashidi.
“Ini menunjukkan kita melantik bukan kerana hubungan peribadi tetapi berdasarkan merit dan kemampuan mereka.
“Agrobank kita tunggulah, Agrobank pun mungkin ada jadi kena tunggu.
“Tetapi yang penting Timbalan Perdana Menteri kita adalah wanita, mungkin suatu hari nanti Perdana Menteri kita adalah wanita tetapi sebelum PM daripada wanita, mungkin seorang wanita jadi Menteri Kewangan dululah,” katanya sambil bergurau.
Ketika ini, Khadijah Iskandar dilantik sebagai Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank selepas kontrak Syed Alwi Mohamed Sultan ditamatkan pada 28 Jun 2019.
Syed Alwi sempat menerajui Agrobank selama kira-kira setahun dua bulan sahaja.-MalaysiaGazette
Tahniah kepada wanita yang telah menjadi pemimpin utama organisasi. Ini menunjukkan wanita lebih dipercayai daripada lelaki kerana integriti mereka. Tengok sahaja kes 1MDB dan ia menjadi pengajaran bahawa lelaki kurang dipercayai menjadi CEO organisasi.