Home Nasional Kenapa hentikan operasi hotel-hotel Tabung Haji?

Kenapa hentikan operasi hotel-hotel Tabung Haji?

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki percaya keputusan menghentikan operasi dan membuang pekerja di empat hotel milik Tabung Haji sebelum ni bukanlah kerana hotel-hotel tersebut rugi.

Sebaliknya, kata beliau, perkembangan terbaharu itu disebabkan pemilikan bangunan-bangunan tersebut telah dipindahkan dari Tabung Haji ke Urusharta Jamaah Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kementerian Kewangan.

“Sangat menyedihkan apabila diberitahu berita bahawa Tabung Haji akan menghentikan operasi empat hotel TH bermula April 2020.

“Sepengetahuan saya, keempat-empat hotel ini adalah popular kepada pengunjung sejak dibuka 7 tahun dahulu.

“Rating keempat-empat hotel dari ribuan pelanggan dalam laman web Agoda serta Trivago juga adalah tinggi dengan kebanyakan rating pada tahap “Very Good” atau “Excellent”,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Hari ini tular surat Tabung Haji berkaitan penutupan hotel-hotel berkenaan yang memetik Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji sebagai berkata, keputusan tersebut tidak boleh dielakkan akibat pemindahan pemilikan bangunan-bangunan hotel tersebut atau dengan bahasa mudah telahpun dijual.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, di dalam industri hotel, bukanlah luar biasa untuk syarikat pengurusan hotel berbeza dengan pemilik bangunan hotel.

Justeru, katanya, pemindahan milik bangunan hotel-hotel kepada syarikat lain sepatutnya bukanlah alasan kenapa hotel-hotel itu terpaksa ditutup.

“Melainkan syarikat milik Kementerian Kewangan sudah ada rancangan untuk menjual bangunan-bangunan tersebut kepada pihak lain yang mungkin akan memulakan operasi hotel mereka sendiri.

“Harap Menteri Haji atau Menteri Kewangan dapat menjelaskan!”katanya.

Dalam surat TH Hotel dan Residence Sdn Bhd itu antara lain menyatakan selepas tujuh tahun beroperasi dalam bidang perhotelan dan hospitaliti, dengan dukacitanya syarikat ingin mengumumkan penutupan operasi dan perkhidmatan TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Penang, TH HotelĀ  & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Penutupan operasi itu berkuatkuasa 1 April depan. – MalaysiaGazette

 

4 Komen

Comments are closed.