Home Ekonomi Jutawan UK terus raih berbilion pound ketika Brexit

Jutawan UK terus raih berbilion pound ketika Brexit

LONDON – Seramai 1,000 individu terkaya di United Kingdom terus meningkat kekayaan berbilion-bilion pound walaupun negara itu mengundi untuk Brexit pada tahun lalu.

Menurut Sunday Times Rich List, kekayaan golongan ini melonjak sebanyak 14 peratus sejak tahun lalu kepada 658 bilion pound.

Adik beradik Sri dan Gopi Hinduja, yang melabur dalam hartanah, penjagaan kesihatan serta minyak dan gas mendahului senarai itu dengan nilai kekayaan sebanyak 16.2 bilion pound, naik 3.2 bilion pound pada tahun lalu.

Senarai ini termasuk sejumlah jutawan Britain seramai 134 orang dengan 14 orang baharu yang dikenal pasti pada tahun lalu.

Pengumpul senarai itu, Robert Watts berkata: “Ketika ramai di antara kita yang bimbang tentang keputusan referendum Kesatuan Eropah, kebanyakan golongan jutawan terus membuat wang berbilion-bilion pound.

Beliau berkata, pasaran saham yang melonjak semula merupakan penjana kepada peningkatan kepada kekayaan golongan itu.

“Kita menjangkakan berlaku kesan negatif menjelang referendum EU, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

“Pasaran saham yang memberangsangkan telah memacu kekayaan golongan ini lebih tinggi, dan sejak Jun lalu ekuiti telah meningkat” kata Watts.

Menurut Watts, golongan 20 terkaya dalam senarai itu mempunyai nilai kekayaan sebanyak 191.77 bilion pound, kenaikan 35.18 bilion dalam tempoh 12 bulan lalu. – MalaysiaGazette