KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membentangkan polisi dialog 2020 dalam mesyuarat bersama negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat pada Mei depan.
Ketua Setiausahanya, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi berkata, polisi dialog yang akan dibentangkan itu merupakan penggantian program SME yang juga menggantikan polisi dokumen di bawah APEC mulai 2021 dan seterusnya.
Katanya, pada masa ini kandungan dalam polisi tersebut masih lagi dibincangkan dengan pemegang taruh dan Majlis Penasihat Perniagaan (ABAC) yang dijalankan bersama MEDAC.
“Misalnya dari segi pembangunan keusahawanan digital, agenda sosial dan sebagainya, juga orang ramai dan sektor swasta sebab kita rasa semuanya tidak boleh berserah kepada pihak kerajaan untuk dibangunkan tetapi perlu juga berganding bahu dengan pihak swasta.
“Ini adalah sebahagian daripada kandungannya dan insyaAllah menteri akan memberi pencerahan bila kita dah siap pakej polisi itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program APEC Young Entreprenuers Kick Off – Ketengahkan Potensi Usahawan Belia di sini hari ini.
Wan Suraya memberitahu, polisi dialog berkenaan turut dibentangkan dalam satu sesi yang akan diadakan di ibu negara pada Julai nanti dan ia akan dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada minggu Program Pembangunan PKS dan Keusahawanan, seterusnya dibentangkan kepada negara-negara dalam APEC pada November kelak.
Program APEC Young Entreprenuers Kick Off yang diadakan selama dua hari itu bertujuan mengetengahkan potensi usahawan belia dan meningkatkan jaringan di antara mereka dengan usahawan daripada negara-negara APEC.
Selain Malaysia, program tersebut turut disertai peserta dari Indonesia, Jepun, Thailand, Mexico, Filipina, Peru, Rusia dan Papua New Guinea.
Antara pengisian program itu ialah sesi perkongsian bersama usahawan berjaya dan para profesional dalam bidang pemasaran digital, inovasi dan pembiayaan PKS. – MalaysiaGazette