Home Nasional Joshua Hilmy pernah dicari penguatkuasa agama – saksi pertama

Joshua Hilmy pernah dicari penguatkuasa agama – saksi pertama

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Seri Hishamudin Md Yunus pada Siasatan Awam Berkenaan Kes Kehilangan Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu di SUHAKAM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menyoal dan mendengar saksi pertama dalam proses inkuiri awam kes kehilangan pasangan suami isteri Joshua Hilmy dan Ruth Hilmy pada 30 November 2016.

Saksi berkenaan Peter Pormannan Annamalai, 58, mendedahkan bahawa Joshua pernah dicari oleh pihak penguatkuasa agama sebelum ini.

Peter yang merupakan seorang ejen insurans yang berasal dari Jalan Mata Kuching, Klang tanpa mendedahkan nama agensi berkenaan berkata, dua tahun selepas berkenalan dengan Joshua, dia ada dimaklumkan bahawa pihak berkuasa agama sedang mencarinya.

“Dia kata ia berkenaan apa yang dipercayainya (penukaran agama) dan mengenai pengalaman hidupnya (tukar agama),” katanya semasa memberi keterangan dalam inkuiri di Ibu pejabat Suhakam hari ini.

Untuk rekod, Ruth merupakan seorang Kristian manakala Joshua menganut Kristian selepas keluar dari agama Islam.

Pasangan itu telah melangsungkan perkahwinan pada tahun 2004.

Tidak banyak yang diketahui mengenai kehilangan pasangan tersebut, melainkan kali pertama mereka dilihat adalah pada 30 November 2016 dan dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

Dalam sesi inkuiri umum sama, pegawai Suhakam juga meminta Peter memberitahu panel sama ada Joshua yang dikenalinya menerima sebarang ugutan atau ancaman atau sekadar siasatan normal daripada pihak berkuasa agama Islam.

Peter sebagai menjawab Joshua memberitahu dia sedang berhasrat untuk menukar identiti dalam kad pengenalan (Mykad) kerana kini memeluk agama Kristian.

“Joshua beritahu saya bahawa status dalam kad pengenalan dia menunjukkan dia masih seorang Muslim dan ingin menukarkan status itu memandangkan dia kini menjadi penganut Kristian,” tambahnya lagi.

Malah, kata Peter lagi,  sepanjang pengenalan dengan Joshua, rakannya itu berdepan masalah tidak mempunyai tempat tinggal tetap sebelum dibenarkan tinggal di rumah mendiang ibu mertuanya.

“Memahami situasinya, selepas ibu mertua saya meninggal dunia, saya telah berbincang dengan isteri saya dan adik-beradiknya sebelum membuat keputusan membenarkan Joshua tinggal di rumah itu.

“Kemudian Joshua sudah mendapat sebuah kediaman banglo satu tingkat di Kampung Tunku, Petaling Jaya dan menetap di sana secara percuma tanpa bayaran sewa dan rumah. Setahu saya adalah kediaman itu milik keluarga India,” ujarnya.-MalaysiaGazette