Home Ekonomi PKPS: LHDN kutip RM7.9 bilion

PKPS: LHDN kutip RM7.9 bilion

Sabin Samitah

KUALA LUMPUR – Seramai 286,428 pembayar cukai tampil membuat pengakuan sukarela yang melibatkan jumlah cukai, cukai tambahan dan penalti sebanyak RM7.877 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, pengakuan yang dilakukan menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) itu membabitkan 11,176 pembayar cukai baharu ke dalam jaringan cukai lembaga itu.

“Jika kita bandingkan (program seperti PKPS) dengan pencapaian negara lain, pencapaian LHDN setara,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Apresiasi Media hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Dr Sabin Samitah (tiga kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Apresiasi Media 2020 di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 FEBRUARI 2020

Bagaimanapun katanya, adalah sukar untuk membandingkan secara langsung dengan negara yang melaksanakan program seumpama PKPS kerana setiap program mempunyai keunikan tersendiri.

PKPS yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2019 adalah inisiatif kerajaan melaksanakan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan mereka, sekali gus dapat mengurangkan ketirisan hasil negara.

Program tersebut berakhir pada 30 September lalu dan mulaiĀ 1 Oktober 2019, penalti minimum sebanyak 45 peratus akan dikenakan ke atas apa-apa pendapatan yang tidak diisytiharkan atau tidak diisytiharkan untuk tujuan cukai.

Ditanya sama ada penularan koronavirus (COVID-19) yang memberi kesan kepada perniagaan dan seterusnya memberi kesan kepada sasaran kutipan cukai sebanyak RM154.676 bilionĀ  pada tahun ini, Sabin yang enggan mengulas berkata: “Biar kerajaan yang umumkan,”.

Tambah beliau, dengan sasaran baharu yang ditetapkan kerajaan, LHDN perlu sentiasa berada di hadapan dalam memastikan kesedaran cukai dapat dipertingkatkan agar hasil negara kekal mampan selain menjamin kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette