Home Sukan Tokyo 2020: Lagi ramai atlet layak, lagi bagus

Tokyo 2020: Lagi ramai atlet layak, lagi bagus

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu IYC di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan akan menghantar satu kontinjen atlet yang besar untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirai pada 24 Julai ini.

Itu jaminan awal yang diberikan menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sambil menegaskan pihaknya sudah melabur sejumlah dana yang besar untuk menjayakan Road To Tokyo 2020 itu.

“Atlet yang layak kita memang nak hantar tetapi kalau boleh lagi besar…lagi banyak lebih baik. Ini bukan masalah penamaan.

“Alhamdulillah, semua berjalan baik selepas berbincang dan berunding agak panjang dengan Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri. Kali ini dana yang besar ditambah bagi industri sukan, jadi saya rasa menjelang Tokyo 2020, banyak yang kita mahu buat dan kita cuba sebaik mungkin buktikan lebih banyak atlet dan paralimpik yang dapat melayakkan diri,” katanya selepas menyempurnakan pembukaan Bangunan Baharu Blok B Pusat Belia Antarabangsa di Cheras hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria yang memutuskan penyertaan atlet dalam lingkungan 30 atlet berkualiti sahaja dibawa ke Tokyo 2020.

Mengulas mengenai perkara itu, Syed Saddiq berkata, KBS sebenarnya mahu memastikan lebih ramai atlet layak kali ini dan satu jumlah kontinjan yang besar boleh dihantar menyertai temasya di Tokyo Julai ini.

Tambah beliau, secara amnya boleh dijangka siapa atlet dan sukan mana yang akan terbabit ke Tokyo kemudian nanti.

Katanya hal ini berbeza dengan penyertaan atlet negara dala temasya Olimpik 2016 Rio Brazil apabila hanya 31 atlet menyertai edisi ketika itu.

Ditanya sama ada menjelang mesyuarat Road To Tokyo esok oleh kementerian, KBS sudah mengenalpasti sukan yang mampu menyumbang pingat emas namun Ahli Parlimen Muar itu berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan dalam perkara tersebut kerana masih terdapat beberapa siri atau saringan kelayakan yang perlu dilalui atlet.

“Esok, kita akan ada perbincangan (mesyuarat) mengenai beberapa perkara (Olimpik Tokyo), memang kita ada sasaran kita tersendiri tapi saya rasa adalah lebih baik kita tunggu mesyuarat untuk putuskan dan bincangkan esok,” katanya lagi.

Diasak lagi dengan soalan sama ada beliau selaku menteri bertangungjawab bersetuju bahawa hanya badminton, acara terjun, dan basikal trek jadi sandaran pingat (emas) Olimpik kali ini, Syed Saddiq berkata, terdapat banyak lagi sukan yang lain yang mampu menyumbang pingat atau naik podium kali ini.

“Kita tunggu mesyuarat petang esok ya..adalah tidak adil saya komen now..ada banyak lagi sukan yang lain dan kita tidak mahu nanti (orang) kata sukan lain tak diberikan perhatian atau kita tidak mengharapkan mereka (keupayaan atlet lain) untuk menyumbangkan pingat bagi negara.

“Esok kita ada mesyuarat, kita akan bincangkan dalam itu,” kata Syed Saddiq lagi apabila ditanya sama ada sukan gimnastik, pelayaran dan memanah juga akan tersenarai dalam acara sumbangan emas di Tokyo kali ini.-MalaysiaGazette