Home Ekonomi Moratorium, percepat bayaran GST antara inisiatif pakej rangsangan ekonomi

Moratorium, percepat bayaran GST antara inisiatif pakej rangsangan ekonomi

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof

CYBERJAYA- Memberikan moratorium pinjaman kepada peniaga terjejas akibat Covid-19 serta mempercepatkan pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) antara perkara yang dicadangkan untuk dimasukkan dalam pakej rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan Perdana Menteri pada 27 Februari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md. Yusoff berkata, secara amnya pakej rangsangan tersebut adalah untuk menghasilkan kelestarian aktiviti ekonomi di negara ini.

Pakej rangsangan fiskal itu juga membolehkan kerajaan menyuntik dana ke dalam sektor-sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19 seperti pelancongan dan pembuatan.

“Selain moratorium, kita juga akan membantu mempercepatkan pembayaran balik GST kepada baki peniaga yang masih belum menerima wang mereka kembali.

“Hampir 90 peratus telah menerima pembayaran semula GST masing-masing tetapi bakinya yang masih belum, mungkin boleh dibantu dengan tidak perlu melalui proses audit sepenuhnya bagi mempercepatkan bayaran, contohnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Tambah Mohd. Redzuan, pihak kerajaan telah berbincang dengan Bank Negara bagi membenarkan bank-bank dan institusi kewangan di Malaysia untuk memberikan moratorium kepada peniaga yang terjejas akibat Covid-19.

Jelasnya, moratorium itu membolehkan para peniaga untuk tidak membayar pinjaman mereka dalam satu tempoh tertentu dan dalam masa yang sama tidak dikenakan denda atau dimasukkan dalam senarai Pinjaman Tidak Berbayar (NPL).

Kerajaan juga katanya, mempertimbangkan untuk mengimbangi harga barangan dalam sektor pembuatan yang menggunakan sumber alternatif bagi menggantikan sumber yang datang daripada kawasan terjejas Covid-19.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada bantuan tersebut datang dalam bentuk subsidi atau kaedah lain.

“Ini semua contoh dan perkara ini ada dibincangkan tetapi ianya akan dimuktamadkan pada mesyuarat kabinet Rabu ini.

“Jika kabinet luluskan maka Perdana Menteri akan umumkan pada 27 Februari nanti,” katanya lagi.- MalaysiaGazette