SEATTLE – Boeing telah mengarahkan pemeriksaan dilakukan ke atas semua pesawat B737 Max selepas ia menemui serpihan dalam tangki minyak beberapa pesawat.
Blog penerbangan, Leeham News yang pertama melaporkan penemuan ‘objek serpihan asing’ (FOD) berkata, tidak mungkin pemeriksaan itu akan melewatkan pengesahan semula pesawat tersebut, lapor.
Bagaimanapun, ia akan mengambil masa sehingga tiga hari untuk memeriksa setiap pesawat kerana bahan bakar perlu dikeluarkan dan wap dinyahkan sebelum tangki boleh dibuka.
Pengurus Besar Program B737, Mark Jenks berkata dalam memo kepada kakitangan bahawa serpihan itu ‘jelas tidak dapat diterima’ dan syarikat sedang mengambil langkah untuk mengatasi masalah dalam sistem pengeluarannya, lapor The Guardian.
“Ketika menghadapi waktu yang mencabar ini, pelanggan kami dan orang awam bergantung kepada kami untuk melakukan yang terbaik setiap hari,” kata Jenk sambil menambah: “Sekali terlepas (daripada kesilapan) adalah terlalu banyak,”.
Serpihan ditemui dalam tangki minyak pada bahagian sayap pesawat B737 Max yang belum dihantar kepada pelanggan semasa pemeriksaan rutin dilakukan di kilang Boeing di negeri Washington dan Texas di mana pesawat terbabit disimpan.
Syarikat itu tidak mendedahkan bilangan pesawat yang terkesan.
Syarikat tersebut baru-baru ini berhadapan dengan isu serpihan yang ditemui dalam pesawat B787 Dreamliners dan pesawat tangki pengisian semula bahan bakar, KC-46A.
Isu tersebut menyebabkan penghantaran dua pesawat KC-46A kepada angkatan tentera udara Amerika Syarikat digantung.
Ia berlaku kurang daripada setahun sejak kemalangan kedua B737 Max menyebabkan operasi pesawat tersebut digantung di seluruh dunia dan syarikat itu bergelut untuk mendapatkan pengesahan semula pengawal selia bahawa pesawat itu boleh terbang dengan selamat.
Masalah tangki minyak tidak mempunyai hubungan dengan kecacatan sensor yang disyaki menyumbang kepada dua kemalangan pesawat itu.
Boeing menghasilkan 400 buah pesawat yang tidak dapat diserah kepada pelanggan dan tempahannya menerima kesan selepas ia diarah mengurangkan pengeluaran di kilangnya dekat Seattle.
Objeks serpihan asing, terma industri untuk kain, peralatan dan bahan lain yang tertinggal semasa proses pengeluaran boleh meningkat risiko litar pintas dan kebakaran. – Agensi