KUALA LUMPUR – Sabah akhirnya melengkapkan kuota pemain import selepas berjaya mendapatkan pemain import dari Namibia, Petrus Shitembi dengan kontrak selama setahun bagi menghadapi saingan Liga Super pada musim ini.
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) memperkenalkan pemain tengah berusia 27 tahun itu semalam.
Presiden PAFA, Datuk Peter Anthony dalam kenyataannya menjelaskan, pemilihan Petrus dibuat berdasarkan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan oleh pemain berkenaan ketika sesi percubaan bersama skuad Tambadau dalam siri jelajah pra-musim di Indonesia baru-baru ini.
“Kita telah membuat keputusan untuk melengkapkan kuota pemain import dengan membawa masuk Petrus yang dilihat mempamerkan aksi memberangsangkan ketika pramusim di Indonesia, baru-baru ini,” katanya.
Aksi lincah bekas pemain Lusaka Dynamos itu telah mencuri perhatian banyak pihak dan rata-rata penyokong Sabah memuji persembahannya serta meminta pihak pengurusan segera mengikat pemain tersebut.
Sabah sebelum ini mengekalkan dua pemain import pada musim lepas iaitu Rodojub Paunovic dan Park Taesu dan mengikat pemain Thailand, Dennis Buschening dan penyerang Puerto Rico, Hector Omar Ramos.
Ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto kini sudah boleh mencongak strategi dan kesebelasan terbaiknya. – MalaysiaGazette