Home Nasional PDRM, SKMM didesak siasat 3 akaun Facebook fitnah menteri

PDRM, SKMM didesak siasat 3 akaun Facebook fitnah menteri

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Prihatin Kuala Lumpur (PRIHATIN), Datuk Mohd Noor Ali Akbar pada sidang media selepas membuat laporan polis berkenaan hantaran Facebook berbaur fitnah terhadap menteri dan bantahan Himpunan 22022020 di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 20 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Tiga badan bukan kerajaan serta dua Amanah Kawasan di sini membuat laporan polis terhadap tiga pemilik akaun Facebook yang didakwa memuatnaik hantaran palsu mengaitkan seorang menteri Pakatan Harapan (PH).

Wakil Amanah Kepong, Datuk Mohd Noor Ali Akbar berkata, tindakan mereka telah menimbulkan persepsi negatif kepada Menteri Kabinet terbabit kerana menggunakan gambar serta membuat petikan palsu yang berniat jahat dan berbaur fitnah.

“Kenyataan ini adalah berniat jahat, fitnah dan hasutan terhadap bangsa dan agama. Ia bertujuan untuk memburukkan imej dan reputasi Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Saya tidak menolak kenyataan palsu menteri ini boleh mencetuskan kemarahan rakyat terharap Kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Dalam laporan polis itu, Mohd Noor Ali menamakan tiga pengguna Facebook yang berkongsi dan menularkan hantaran palsu itu, antaranya Facebook bernama Zam Yahaya, Rezan Yusof dan Roslan Latif.

Hantaran palsu itu antara lain berkata, Singapura Memberikan Kita Contoh Terbaik. Jika Melayu Minoriti Boleh Menjadi Presiden Singapura, Mengapa Kita Tidak Beri Peluang Bangsa Cina Mentadbir Malaysia? Ia Idea Yang Bagus.

Dalam pada itu, Mohd Noor Ali juga mendesak berkuasa agar menyiasat individu dan pengendali tiga akaun Facebook tanpa sebarang prejudis serta bertindak segera.

“Kami mendesak pihak berkuasa PDRM dan SKMM menyiasat hantaran tersebut di bawah Seksyen 499/500 Kanun Keseksaan,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga hari ini melancarkan kempen ‘No Fitnah Posting Anymore’ di laman media sosial susulan seorang menteri Pakatan Harapan (PH) menjadi mangsa fitnah baru-baru ini.

“Sebagai warga Kuala Lumpur, kami akan perangi habis-habisan hantaran fitnah yang telah dikeluarkan dan tular tanpa melihat ketulenannya.

“Maka kami akan perangi dan kita mulai hari ini kita akan kempen ‘No Fitnah Posting Anymore’ di media sosial khususnya di negara ini.

“Kita rasa media sosial sekarang ini disalahgunakan oleh individu yang gatal tangannya tanpa mengira itu adalah fitnah,”

“Bila perkara itu dilaporkan kepada pihak polis, tolong padam (turunkan) segera hantaran fitnah tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette