Home Utama Vida tetap saman Azwan

Vida tetap saman Azwan

Reaksi Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Vida kelihatan sebak ketika bercakap pada sidang media Datuk Seri Vida berkenaan saman terhadap Azwan Ali, turut sama anaknya, Nur Edlynn Zamilleen atau Cik B di Hotel One World, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 20 FEBRUARI 2020

PETALING JAYA – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman akan meneruskan tindakan saman ke atas pengacara Azwan Ali susulan dakwaan fitnah sebelum ini.

Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berkata, keputusan itu diambil memandangkan sidang media permohonan maaf yang dilakukan oleh Azwan pada 11 Februari lalu hanya memburukkan keadaan.

Usahawan kelahiran Kelantan itu berkata, reputasi perniagaan rosak teruk akibat fitnah oleh adik Menteri Kabinet itu.

“Ini bukan gimik dan strategi pemasaran perniagaan saya, tambahan melibatkan arwah dua anak saya.

“Ini tidak buat sidang media, maaf lagi memburukkan keadaan dan saya tunggu di mana keikhlasan dia hendak mohon.

“Bila saya tengok sidang media itu, lagi bertambah sakit hati. Walaupun begitu saya tidak buat keputusan terus saman ini ketika marah.

“Saya ambil masa lebih seminggu untuk berfikir dan tidak ada mana-mana pihak yang jadi batu api atau cucuk saya untuk menyaman Azwan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di sini hari ini.

Turut hadir peguamnya, Adnan Seman.

Mengulas lanjut, Adnan memberitahu pihaknya akan membuat deraf tuntutan saman selepas keputusan yang dibuat anak guamnya itu.

Beliau berkata, deraf itu dijangka siap selewatnya pada Selasa depan sebelum diserah kepada peguam Azwan.

“Tuntutan saman tidak boleh menyatakan jumlah dan hanya meletakkan ganti rugi am.

“Mahkamah yang akan tentukan dan tengok kata-kata dilemparkan untuk nilai dan jumlahnya.

“Anak guam saya bukan tuntut duit tapi reputasi,” katanya. – MalaysiaGazette