KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga kerja tempatan yang pakar dalam pengurusan aset infrastruktur dan tidak perlu terlalu bergantung kepada pekerja luar seperti Indonesia lagi pada masa depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri SK. Devamany berkata, kerajaan menjangka ada lebih 100 projek infrastruktur dalam tempoh 10 tahun lagi dan kesemuanya memerlukan modal insan yang pakar.
“Salah satu cabaran utama yang sedang dihadapi negara ketika ini adalah keseimbangan dalam pengurusan infrastruktur (bangunan), selalunya kita ada bajet kewangan untuk projek infrastruktur baharu tetapi berdepan kekangan kewangan untuk kerajaan membaiki bangunan dan penyelenggaraan infrastruktur.
“Jadi, kerajaan harus mempertimbangkan secara serius bagaimana untuk melaksanakan pengurusan aset.
“Bila negara ke arah itu, kita memerlukan sumber manusia iaitu pekerja berpakaran tinggi dalm bidang infrastruktur dan Kolej Infrastructure Water Management (IEWM)) menawarkan kursus ini. Saya berharap mereka yang menceburi industri pembinaan, air atau lain-lain persiapkan diri anda dengan kemahiran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program pengajian Diploma dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan khusus dalam pengurusan aset infrastruktur oleh Institut Pengurusan Aset Infrastruktur (IIAM) Malaysia yang turut dihadiri Presiden IIAM, Dr. Mohd Syazwan Abdullah di sini hari ini.
Dalam perkara berkaitan, Devamany yang juga Pemangku Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu juga memberitahu, pendidikan dan latihan teknikal juga boleh diperluaskan bagi melahirkan tenaga yang mampu menyaingi kemahiran pekerja asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh.
“Jadi, satu-satunya jalan yang kita ada ialah untuk melahirkan pekerja mahir dan berpengetahuan tinggi dan kedua kursus Diploma Eksekutif Pengurusan Infrastruktur yang disediakan sangat penting dan tepat pada masa.
“Ini kerana lebih 100 projek berbilion ringgit akan menyusul dalam tempoh 10 tahun akan datang antara Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Bandar Malaysia, Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dan banyak lagi di negeri lain memerlukan tenaga pakar.
“Oleh itu kita tidak memerlukan pekerja warga asing dan semua pihak perlu memberi perhatian serius serta meningkatkan kemahiran masing-masing,” ujarnya lagi.
“Selain itu, kita perlukan kepakaran ini untuk mengurangkan kos pengurusan dan penyelenggaraan aset infrastruktur yang terlalu tinggi dan mewujudkan teknologi baharu,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Mohd. Syazwan memberitahu, setakat ini, lebih 50 pelajar mengikuti program diploma dan lebih 70 mengikuti program sarjana di IIAM yang menjamin kerjaya graduan 100 peratus.
“Kita juga bekerjasama dengan beberapa syarikat pemaju gergasi seperi Percetakan Nasional Berhad, EcoWord dan SP Setia, untuk permintaan pasaran tenaga kerja,” ujarnya. – MalaysiaGazette