Home Utama MH370: Kita sama-sama berdoa keajaiban berlaku – Fauzi

MH370: Kita sama-sama berdoa keajaiban berlaku – Fauzi

Sebahagian pengunjung melintasi sudut kenangan pada Majlis Memperingati Lima Tahum Tragedi MH370 di The Square, Publika, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 03 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak sewajarnya tidak membuat tuduhan tidak berasas berhubung kehilangan misteri pesawat MH370 termasuk kepada juruterbangnya, Kapten Zaharie Ahmad Shah selagi tiada bukti menyokong dakwaan tersebut.

Rakannya, Kapten Md. Fauzi Md. Tamaji berkata, pelbagai tuduhan yang dilemparkan tidak membawa manfaat kepada sesiapa sebaliknya menambah luka hati kepada ahli keluarga terlibat.

Tegasnya, sejak saat kehilangan pesawat itu, rakyat Malaysia didedahkan dengan pelbagai cerita, teori dan konspirasi tetapi semuanya tidak dapat dibuktikan sehingga hari ini.

“Untuk itu, kenapa tiba-tiba kisah MH370 dibangkitkan semula dengan pertuduhan-pertuduhan yang tidak berasas, lebih-lebih lagi membabitkan juruterbang yang terlibat.

“Pada saya, sangat tidak adil kepada mana-mana pihak yang membuat pertuduhan ke atas Zaharie tatkala dia tidak ada di sini untuk mempertahankan dirinya,” kata juruterbang itu.

Beliau yang menonton dokumentari MH370 The Untold Story oleh SkyNews untuk mengetahui kandungannya berkata,  sebenarnya tiada apa yang baharu didedahkan dalam dokumentari itu kecuali andaian individu yang diwawancara dan ianya diperbesar-besarkan.

Semalam, media melaporkan kenyataan bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott yang diwawancara dalam dokumentari itu mendakwa, pegawai ‘berpangkat tertinggi’ Malaysia memaklumkan kepadanya tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 disebabkan tindakan bunuh diri oleh juruterbang pesawat berkenaan.

Dalam kejadian 8 Mac 2014, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Bagaimanapun Abbot tidak mendedahkan nama individu yang memberi maklumat berkenaan.

Sebagai kawan, Fauzi berkata, Kapten Zaharie juga adalah gurunya dalam penerbangan kerana pernah bersama-sama dalam simulasi pesawat selain pernah terbang bersama.

“Mengenali beliau (Kapten Zaharie) sukar untuk saya mempercayai tuduhan Abott dan pelbagai spekulasi yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.

“Sepanjang mengenalinya, Kapten Zaharie cukup komited dan profesional dengan tugasnya,” tambahnya

Fauzi berkata, dalam keadaan sekarang adalah lebih baik jika kita semua mendoakan agar berlaku ‘keajaiban’ sehingga pesawat MH370 dapat ditemui sekali gus merungkaikan segala misteri yang menyelubungi negara dan keluarga penumpang selama enam tahun ini.

“Pada saya, hanya Allah yang tahu apa yang berlaku pada pesawat tersebut. Tiada yang lain. Kalau ada pun sekadar andaian yang tidak membawa makna kerana tiada bukti.

“Kalau kita tidak tahu, janganlah sebar kenyataan-kenyataan yang boleh mencemar nama baik Kapten Zaharie atau sesiapa sahaja kerana mereka ini masih mempunyai keluarga.

“Setiap keluarga pasti menangisi pemergian orang-orang yang disayangi, begitu juga keluarga Zaharie apatah lagi ‘pemergiannya’ tidak berkubur. Hormati keluarga dia,” ujarnya sambil berkata tuduhan demi tuduhan semata-mata memperingati tarikh kehilangan MH370 tidak membantu apa-apa pun. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MH370: Pembunuhan beramai-ramai oleh juruterbang – Tony Abbott

 

2 Komen

Comments are closed.