Home Sukan Emre Can milik tetap Dortmund

Emre Can milik tetap Dortmund

DDORTMUND – Emre Can tidak perlu menunggu sehingga penghujung musim bagi meyakinkan Borussia Dortmund untuk mengikatnya secara tetap selepas hanya 18 hari menyertai kelab itu secara pinjaman dari Juventus.

Pemain kebangsaan Jerman itu telah menandatangani kontrak selama empat tahun dengan nilai perpindahan sebanyak €25 juta.

Can beraksi cemerlang dalam empat perlawanan untuk Dortmund setakat ini dan telah menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya.

Penampilan pertamanya bersama Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah menyaksikan dia membantu pasukan itu menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 di Signal Iduna Park.

Dua gol Dortmund dijaringkan oleh penyerang muda sensasi mereka Erling Braut Haaland manakala PSG pula mendapatkan gol menerusi Neymar.

Bekas pemain tengah Liverpool itu sering disisihkan oleh Maurizio Sarri ketika bersama Juventus dan hanya dua kali memulakan perlawanan dalam saingan Serie A.

Can meninggalkan Liverpool dan menyertai juara Itali itu secara percuma pada Jun 2018.

Dia sebelum ini pernah beraksi untuk dua kelab Jerman iaitu Bayer Leverkusen dan Bayern Munich.

Dortmund yang merupakan naib juara Bundesliga musim lepas akan menjadi platform penting untuk Can kembali pada prestasi terbaiknya agar dipilih dalam skud Jerman yang akan beraksi di Euro 2020 pada Jun ini.

Dortmund juga kini sedang memburu kejuaraan Bundesliga dan menduduki tangga kedua dengan hanya empat mata di belakang Bayern. – MalaysiaGazette