KUALA LUMPUR- Kerajaan perlu terbuka di dalam menguruskan isu-isu berhubung aset Lembaga Tabung Haji (TH) kerana ia merupakan aset umat Islam.
Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohd. Shahrulariffin Ab Manan berkata, jika kerajaan tersilap langkah, ianya akan membawa kerugian besar umat Islam dan mungkin menyebabkan pendeposit mengeluarkan simpanan masing-masing secara besar-besaran (bank run).
“Silap langkah yang diambil oleh kerajaan akan mengakibatkan kerugian besar kepada umat Islam Malaysia. Kesannya kerajaan dilihat tidak kompeten menguruskan kepentingan umat Islam Malaysia.
“Ibarat menang sorak kampung tergadai.
“Pendeposit TH yang berjumlah 9.4 juta juga akan gusar mengenai pendekatan TH sekarang ini yang nampak seolah-olah tidak menguntungkan umat Islam. Saya percaya pendeposit TH sedang tunggu dan lihat.Tidak mustahil akan berlaku bank run,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Shahrulariffin, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) seharusnya ditubuhkan bagi menyiasat isu-isu yang membabitkan penjualan aset TH.
Ini kerana terlalu banyak persoalan yang masih belum terjawab dan ini membimbangkan umat Islam dan pendeposit khususnya.
Katanya lagi TH seharusnya mengeluarkan laporan lengkap dan membuat kenyataan rasmi bersama fakta-fakta mengapa hotel tersebut terpaksa ditutup.
“Jika aset-aset ini hendak dilupuskan, siapakah yang akan membeli aset ini. Kerajaan kena telus tentang perkara ini. Jika aset-aset ini tidak strategik, sudah tentu tiada syarikat yang berminat untuk memilikinya.
“Yang peliknya mudahnya mencari pembeli kepada aset ini dalam kadar segera,” katanya lagi.
Ujarnya, antara isu yang membabitkan aset TH yang sedang hangat diperkatakan ketika ini adalah penutupan operasi empat hotel milik badan tersebut serta penjualan tanah ladang kelapa sawit kepada Tamaco Plantation Sdn. Bhd. yang masih belum dijelaskan sehingga kini.
Menurut Mohd. Shahrulariffin, Datuk Seri Mujahid Yusoff selaku Menteri yang bertanggung jawab terhadap TH perlu menjawab kesemua isu yang dibangkitkan masyarakat itu.-MalaysiaGazette
Dah banyak sangat isu ni, menteri bertanggungjawab pula tidak dapat menjawab dengan tepat!
Oleh itu dah sesuai sangat tubuhkan RCI ni, tak rugi pun, siapa2 pun tak rugi malah sume stakeholders gumbira sebab transparen! Good governance practice kata org puteh! Kah..kah..kah..
Pelik sungguh sebab hotel2 ni laporan kewangan dia menunjukkan keuntungan tp dijual??