Home Sukan RM22.5 juta untuk Program ‘Road To Tokyo 2020’ – Syed Saddiq

RM22.5 juta untuk Program ‘Road To Tokyo 2020’ – Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan sebanyak RM22.5 juta di bawah Program Road to Tokyo (RTT) untuk persiapan atlet negara merealisasikan emas pertama negara Sukan Olimpik pada temasya 2020 di Tokyo, Julai ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata sukan berbasikal menerima peruntukan paling tinggi iaitu hampir RM8.4 juta, diikuti badminton (RM6.5 juta), terjun (RM2.3 juta), pelayaran (hampir RM2 juta) dan selebihnya untuk sukan gimnasrik, karate-do, renang dan golf.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos ini.

Beliau berkata peruntukan tersebut adalah bagi tempoh Januari hingga tamat Sukan Olimpik 2020.

“Sekiranya memerlukan dana tambahan, kementerian akan memperhalusi perkara itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program RTT, di sini, hari ini.

Setakat ini, seramai 10 atlet dari empat jenis sukan – terjun, pelayaran, memanah dan gimnastik telah layak ke temasya sukan terbesar itu manakala lebih kurang 25 atlet lagi dijangka layak sebelum tamat tempoh kelayakan mengikut sukan masing-masing.

Atlet yang layak ialah empat penerjun wanita, Pandelela Rinong, Wendy Ng, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri, Khairulnizam Mohd Affendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil, Juni Karimah Noor Jamali (pelayaran); Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) dan atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad.

Pada edisi Rio 2016, Malaysia diwakili oleh 32 atlet yang membawa pulang empat pingat perak dan sebutir gangsa, yang merupakan pencapaian terbaik negara, namun masih kempunan untuk meraih pingat emas.- BERNAMA