KALA LUMPUR – Jingga13 nafi akan menganjurkan demonstrasi menuntut peralihan kuasa PM 8, malam ini bersama-sama Otai Reformis dan Anwar Ibrahim Club (AIC) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Setiausahanya Afzainizam Rahman berkata, poster yang tersebar di media sosial itu adalah fitnah berujuan merosakkan nama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwaan tersebut juga tambahnya sengaja ditimbulkan untuk mencetuskan perselisihan faham antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar seterusnya mahu menggagalkan peralihan kuasa secara harmoni.
“Ini adalah satu usaha jahat mereka yang semakin terdesak sehingga sanggup melakukan satu tindakan fitnah bagi tujuan merosakkan nama baik dan reputasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan individu-individu serta NGO yang berdiri teguh bersama beliau.
“Permainan politik desperado (terdesak), jijik dan kotor ini adalah bagi mewujudkan dan mencipta pertembungan, ketegangan dan perselisihan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan niat menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri berlaku dengan aman dan harmoni,” katanya menerusi kenyataan.
Dikatakan poster yang tersebar itu menunjukkan satu demonstrasi aman akan diadakan pada 7:30 malam ini bagi menuntut peralihan kuasa dilakukan dengan segera.
Turut dikatakan akan hadir pada perhimpunan Datuk Mohamad Ezam Mohamad Nor, Pengerusi Otai Reformis, Dr Idris Ahmad, Ketua Koordinator Jingga13 Fariz Musa.
Terdahulu Anwar Ibrahim berkata isu peralihan kuasa akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam ini di Yayasan Kepimpinan Perdana.-MalaysiaGazette