KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Laos, Dr. Thongloun Sisoulith akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari mulai hari ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu adalah atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan ia adalah lawatan rasmi pertama Dr Thongloun sejak menjawat tugas itu pada April 2016.
“Lawatan rasmi Dr Thongloun Sisoulith ke Malaysia menekankan kepentingan Laos dalam menjalin hubungan dengan Malaysia.
“Ia juga memberi peluang terbaik kepada kedua-dua pemimpin mengkaji kemajuan dalam hubungan dua hala sedia ada dan membincangkan kemungkinan mengukuhkannya,” tambah kenyataan itu.
Dr Thongloun yang dijangka tiba di Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi ini akan diiringi beberapa menteri kabinet, timbalan menteri dan pegawai kanan.
Menurut Wisma Putra, sewaktu lawatan itu Dr Thongloun akan diberi sambutan rasmi, sebelum mengadakan mesyuarat tertutup dengan Najib di pejabat perdana menteri, diikuti dengan mesyuarat delegasi.
“Kedua-dua pemimpin dijangka berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan fokus diberikan untuk meluaskan kerjasama ekonomi selain kepentingan bersama dalam isu serantau dan antarabangsa, tambah kenyataan itu.
Pada sebelah tengah hari, Najib akan mengadakan jamuan bagi meraikan Dr. Thongloun dan delegasinya.
Perdana Menteri Laos dijadual membuat ucapan pada Forum Perniagaan Malaysia-Laos di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara pada sebelah petang.
Nilai perdagangan antara Malaysia dan Laos telah meningkat sejak beberapa tahun di mana pada 2016, jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia dengan Laos adalah US$30.96 juta berbanding US$17.7 juta pada 2015.
“Malaysia juga adalah pelabur kelima terbesar di Laos dengan kira-kira US$1 bilion nilai pelaburan pada 2016,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah Malaysia telah mencatat kedatangan 31,061 pelancong Laos pada 2016 berbanding 24,228 pada 2015.
“Dalam konteks ini, adalah diharap lawatan ini akan memberi dorongan yang lebih kepada hubungan dua hala kedua-dua negara dan menyediakan platform bagi kedua-dua pemimpin memperbaharui hubungan peribadi dan persefahaman, tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette