Home Politik Kerajaan bertanggungjawab survival peniaga, MCA sangkal Guan Eng

Kerajaan bertanggungjawab survival peniaga, MCA sangkal Guan Eng

Nicole Wong

KUALA LUMPUR – Kerajaan bertanggungjawab memastikan suasana negara sesuai untuk survival para peniaga bukan tidak mempedulikan golongan ini ketika berlaku krisis.

Lantaran itu, MCA menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan yang menyatakan kerajaan tidak mungkin menanggung segala kerugian peniaga adalah tidak bertanggungjawab.

Ketua Pemudanya, Nicole Wong mendakwa kerajaan lambat bertindak dalam menghadapi impak penularan Covid-19 berbanding Singapura.

“Sebaliknya di Singapura, kerajaannya berterus-terang tentang impak wabak Covid-19 yang berterusan mengganas terhadap republik itu.

“Perdana Menteri, Lee Hsien Loong juga mengakui kesan terhadap ekonomi kali ini lebih teruk daripada wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) 2003 dan tidak menolak kemungkinan ekonomi Singapura menghadapi kemelesetan ekonomi.

“Sedangkan Singapura pun bimbang tidak dapat mengelak daripada menghadapi kemelesetan tetapi Lim Guan Eng pula berkata, walaupun Covid-19 pastinya memberi impak kepada segenap industri, namun negara tidak menghadapi risiko kemelesetan ekonomi. Siapakah yang patut rakyat percayai?” soalnya.

Wong berkata, Guan Eng sepatutnya berasa malu kerana menyangkal kritikan kerajaan terlalu lambat mengumumkan pakej perangsang ekonomi, sebaliknya mengatakan Malaysia adalah negara terpantas melakukannya.

Tidak munasabah kerajaan bayar balik kerugian peniaga akibat Covid-19

Tetapi, semalam Singapura mengumumkan dua pakej khas bagi menghadapi impak negatif wabak Covid-19 kepada ekonominya.

Singapura memperkenalkan Pakej Penstabilan dan Sokongan (Stabilisation and Support Package) bernilai S$4 bilion serta Pakej Perihatin dan Sokongan (Care and Support Package) bernilai S$1.6 bilion.

Pakej pertama bertujuan menstabilkan ekonominya melalui bantuan kepada pekerja mengekalkan penggajiannya serta bagi firma-firma mengekalkan kecairan mereka, manakala pakej kedua pula membantu meringankan kos sara hidup isi rumah tempatan, terutamanya yang berpendapatan rendah.

“Bilakah agaknya kerajaan Malaysia akan terjaga dari tidur lenanya? Wakil-wakil persatuan pelbagai industri telah tampil membuat kenyataan serta meminta pertolongan kerajaan, tetapi kerajaan masih berlengah-lengah dan hanya akan mengumumkan pakejnya pada 27 Februari,” ujar beliau.

Dalam kenyataannya itu, Wong memuji Kementerian Kesihatan yang menjalankan usaha menangani wabak koronavirus itu dengan memuaskan.

Kementerian, katanya, dapat mengawal penularan wabak berkenaan dalam negara dan statistik harian menunjukkan kawalan dilakukan dengan berkesan. – MalaysiaGazette