Home Utama Mesyuarat tergempar geng Azmin, bakal keluar PKR?

Mesyuarat tergempar geng Azmin, bakal keluar PKR?

Pengamal media mula memenuhi ruang legar hotel bagi menantikan pengumuman penting susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. foto AFFAN FAUZI, 23 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat tergempar sebahagian pemimpin kerajaan yang rata-ratanya dari PKR telah diadakan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya petang ini.

Ia dijangka selesai pukul 7 malam ini selepas kehadiran seorang demi seorang pemimpin ke hotel berkenaan sejak pukul 4 petang tadi.

Dijangka mesyuarat itu ada kaitan dengan tindakan mereka keluar dari PKR dan menubuhkan parti baharu dan nama yang disebut-sebut ialah Parti Reformasi Negara.

Kemudiannya mereka akan bergabung dengan pakatan pembangkang yang bekerjasama dengan PPBM sebelum menubuhkan kerajaan baharu.

Antara yang hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaafar yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Edmund R. Santhara Kumar, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.

Naib Presiden PKR, Tian Chua juga kelihatan selain Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnun.

Mesyuarat tergempar itu akan diketuai oleh Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, rata-rata penyokong ‘serpihan PKR’ itu juga kelihatan gembira di luar hotel – seolah-olah tidak sabar dengan pengumuman pakatan kerajaan ‘baharu’ yang mungkin akan diumumkan malam ini di hotel yang sama.

Sebelum itu, sejarah mencatatkan Hotel Sheraton itu pernah menjadi ‘bidan’ kepada Pakatan Harapan (PH) dan kemungkinan ia sekali lagi menjadi saksi kepada satu lagi parti politik baharu.- MalaysiaGazette