SEJUJURNYA rakyat mengharapkan segala episod kekalutan kepimpinan negara ketika ini, sama ada perlu ada ‘pakatan baru’, sama ada perlu rombakan pemerintahan atau sama ada perlu pembubaran parlimen – ia hendaklah diselesaikan dengan kadar segera!
Kasihanilah rakyat yang semakin terhimpit dengan masalah kenaikan harga barang, pengangguran, kesempitan hidup dan sebagainya sama ada di bandar-bandar mahupun di desa.
Tolonglah contohi tetangga kita, tak payah pergi jauh – lihatlah Indonesia. Selepas tamat pemilihan Presiden, mereka terus menumpukan usaha untuk menarik pelabur, memajukan ekonomi, memperkasakan infrastuktur dan membuka bandar-bandar baharu. Malah seteru dan musuh masa pemilihan, diangkat menjadi sahabat dan seterusnya dibawa ke dalam kabinet untuk sama-sama memajukan negara.
Tetapi tidak dengan kita. Politik kita sepanjang hari, sepanjang bulan dan sepanjang tahun.
Mereka yang diberi kuasa bukannya mengambil peluang itu untuk mengotakan janji, sebaliknya mereka mengamalkan polisi serta dasar yang membuatkan rakyat bertambah marah dan tak puas hati.
Sibuk beretorik, sibuk menyalahkan kerajaan dahulu, sibuk menyalahkan orang ini dan orang itu tetapi mereka sendiri tak nampak apa hasil kerja yang boleh dibanggakan. Alasan tetap sama, beri kami masa – sampai bila?
Justeru sekiranya dalam masa terdekat ini berlaku perubahan, sekiranya ada, tolonglah letakkan noktah dan titik penamat pada permainan politik yang semakin tak tentu hala ini. Kita sesungguhnya tidak punya masa. Kita semakin ditinggalkan oleh bukan sahaja negara jauh, tetapi negara tetangga.
Ekonomi kita semakin gawat.
Pengeluaran dana asing dari Bursa Malaysia terus menekan bursa saham tempatan. Perkembangan ini masih berlaku walaupun penilaian saham-saham tempatan telah jatuh ke paras lebih murah.
Malaysia kini sedang duduk di tempat pertama antara negara-negara ASEAN sebagai negara yang paling tinggi aliran keluar bersih dana asing. Pelabur-pelabur asing menarik keluar pelaburan mereka hampir setiap minggu.
Jumlah nilai dana asing yang ditarik keluar dari pasaran saham Malaysia setakat tahun 2019 sudah mencecah RM9.17 bilion. Ini bagaimanapun ‘masih rendah’ berbanding nilai RM11.69 bilion yang dikeluarkan oleh pelabur asing pada tahun sebelumnya!
Pelabur asing sangat berhati-hati kerana kurangnya keyakinan terhadap kestabilan politik Malaysia dalam jangka sederhana dan panjang. Penangguhan atau pembatalan projek infrastruktur mega, kelemahan ringgit serta ketidaktentuan peralihan kuasa terus menjadi faktor yang menjejaskan sentimen pelabur luar.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia hanya meningkat 3.6 peratus pada suku keempat 2019 iaitu kadar yang paling lemah sejak 10 tahun lalu. Dalam keadaan negara jiran seperti Singapura yang menunjukkan lonjakan indeks 5% tahun ini, malah Indonesia 3%, indeks FBM-KLCI terus susut.
Semua perkara yang membabitkan Melayu Bumiputera juga terus merudum. Bukan sahaja dividen Tabung Haji mencatat sejarah paling rendah iaitu 1.25 peratus, dividen Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga mencatat sejarah yang sama dan dianggap paling rendah sejak tahun 1973 iaitu cuma 2.0 peratus. Kini dividen ASB 2019 pula menerima nasib yang sama apabila diumumkan hanya 5.5 peratus.
Justeru cukup-cukuplah berpolitik. Kita kena segera tamatkan dan letak titik noktah dalam hal ini. Kalau perlu pemerintahan ditukar, tukar segera! Kalau perlu pucuk pimpinan dirombak, rombak segera!
Bila bab asas iaitu isu kepimpinan negara ini berjaya diselesaikan, barulah negara akan selesa bergerak menuju ke arah kecemerlangan dan kemakmuran yang rakyat inginkan. Kita sudah tidak punya banyak masa.
Berubah, atau diubah! – MalaysiaGazette