Home Nasional Spekulasi pilihan raya sekali lagi cemar nama Agong

Spekulasi pilihan raya sekali lagi cemar nama Agong

Dr. Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Spekulasi kononnya Yang di-Pertuan Agong lebih berkenan supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan satu pilihan raya umum baru dilangsungkan sebenarnya boleh mencemarkan nama baginda.

Sedangkan, mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, pembubaran Parlimen hanya boleh berlaku jika Perdana Menteri yang tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat meminta Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, pemerhati politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, pembubaran Parlimen tidak berbangkit dalam keadaan Perdana Menteri tidak berhadapan dengan masalah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Manakala Perkara 40 (1) dan Perkara 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan, pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat, dan, apabila dinasihati, hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Perkara 43 (5) dan Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan pelantikan mana-mana Menteri boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan pelantikan mana-mana Menteri lain boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Kamarul berkata, Malaysia masih ada Perdana Menteri yang boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong yang, apabila dinasihati, hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

“Jadi di mana masalahnya sehingga kononnya perlu kepada satu pilihan raya umum baru?,” katanya yang menyifatkan spekulasi mengenai pilihan raya umum semula itu sengaja diheboh-hebohkan oleh segelintir pihak. – MalaysiaGazette