KUALA LUMPUR – Menjelang Kiraan Detik 100 Hari Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 atau Kuala Lumpur 2017 (KL2017), rakyat Malaysia diberi peluang untuk menyumbangkan lirik lagu tema sukan berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu lirik lagu tema KL2017 yang diterajui oleh komposer ternama Datuk Ramli MS dan akan dinyanyikan oleh penyanyi popular tanah air, Dayang Nurfaizah itu datangnya daripada rakyat dengan gubahannya bertemakan ‘bangkit bersama’.
“Kita minta orang ramai untuk turut serta menghantar lirik. Mereka boleh menghantarnya kerana ianya terbuka melalui Facebook, Twitter, Instagram dengan menggunakan #laguKL2017, untuk Datuk Ramli menggunakan perkataan tersebut datangnya daripada rakyat Malaysia sendiri bagi menggubah lagu tema KL2017.
“Saya minta orang ramai beri idea apa sahaja, boleh beri satu perkataaan atau satu ayat kerana kita mahu lagu ini datangnya daripada rakyat,” kata Khairy.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Majlis Kiraan Detik 100 hari di Kuala Lumpur Sentral pagi tadi.
Mengulas lanjut mengenai penganjuran KL2017, Khairy berkata, KL Sentral dengan kerjasama MRCB dan Prasarana akan membuat publisiti meluas melalui pengangkutan awam bagi mempromosikan Sukan SEA yang bakal berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos depan.
Manakala Sukan Para ASEAN pula akan bermula 17 hingga 23 September.
“Kerjasama kita dengan penaja Malaysia Airport Holdings Berhad pula, kita akan dapat lihat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dihias mengikut tema Sukan SEA nanti.
“Ini penting kerana ini kawasan orang ramai, kesedaran berhubung Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN dapat dipertingkatkan lagi. Semua tahu sukan ini tetapi kita mahu rakyat merasai kehangatannya menjelang temasya berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Khairy juga menyasarkan Malaysia menjadi juara keseluruhan bagi kedua-dua sukan berkenaan dengan turut menjadi negara penganjur terbaik dalam sejarah Sukan SEA.
“Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Sport City, beliau sempat ke Stadium Nasional, pusat akuatik dan Axiata Arena dan beliau sangat berpuas hati dengan kerja penambahbaikan Kompleks Sukan Negara,” katanya. – Malaysia Gazette