Home Nasional Tun M temui Agong bentuk kerajaan baharu?

Tun M temui Agong bentuk kerajaan baharu?

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Pertemuan Dr Mahathir dengan baginda dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang tadi.

Terdahulu Dr Mahathir tiba di pintu utama, Istana Negara kira-kira 4.44 petang tadi diiringi dengan polis pengiring.

Awal pagi tadi, Dr Mahathir mengambil tindakan drastik apabila meletakkan jawatan Perdana Menteri berkuatkuasa serta-merta.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga turut meletakkan jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menghadap YDPA awal petang tadi.

Anwar kelihatan memasuki Istana Negara melalui pintu 2 pada jam 2.30 petang tadi, dan lima minit kemudian disusuli dengan Wan Azizah. – MalaysiaGazette