Home Politik PRU-14: Mubarak salur jentera untuk BN

PRU-14: Mubarak salur jentera untuk BN

Veteran UMNO
Abdul Aziz Rahman

KUALA LUMPUR – Bagi membantu Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) akan menggerakkan jentera mereka dalam melicinkan persiapan menghadapi pilihan raya.

Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, sebagai institusi yang menyokong kerajaan sedia ada, pergerakan itu akan turun ke segenap pelusuk negara dalam misi mengekalkan kerajaan BN.

“Memang kita akan bantu, itu memang tugas kita selaku majlis bekas ahli parlimen sebab kita terlibat dari segi menentukan kerjasama dengan kerajaan yang sedia ada.

“Sekiranya PRU diadakan dalam masa terdekat, kita akan kerahkan ahli-ahli kita untuk turun padang. Malah kita ada jentera kita di peringkat negeri dan bahagian. Jentera kita juga akan ada di peringkat kawasan yang margin untuk BN tipis,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Abdul Aziz berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam Majlis Pelancaran Buku Parlimen Mahasiswa Patriotisma dan Toleransi Kaum.

Mubarak jelas Abdul Aziz telah lama menggerakkan jentera dalam membantu BN bagi menghadapi PRU.

Malah katanya, majlis berkenaan juga sedia memberikan buah fikiran dan pandangan sebagai jalinan kerjasama dalam usaha untuk memperkukuhkan jentera BN.

“Kita bantu BN di setiap pilihan raya. Tapi bukan bersifat politik. Kita bergerak dengan golongan pencen dan belia di peringkat akar umbi,” katanya.

PRU-14 dijangka sengit apabila beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan melibatkan pertembungan tiga penjuru apabila Pas mengambil pendekatan untuk bersendirian.

Ia pastinya melibatkan pertembungan antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan Pas. – MalaysiaGazette