PETALING JAYA – Meskipun umum sedia maklum Pilihan Raya Umum ke-14 semakin hampir, Pakatan Harapan (PH) masih meneruskan teka-teki siapa calon perdana menteri dalam kalangan mereka sekiranya blok pembangkang itu memenangi PRU akan datang.
Berbeza dengan PRU-13 yang lepas, meskipun tidak menyatakan secara rasmi, namun umum mengetahui ketua pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon utama bagi menjawat jawatan tinggi negara.
Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PPBM hari ini, PH sekali lagi enggan mengulas lanjut ketika ditanya berkenaan calon perdana menteri yang layak dalam kalangan mereka.
Menurut Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah, rakyat perlu menumpukan kepada isu kos sara hidup yang semakin tinggi, seperti yang berlaku pada PRU-13 berbanding calon perdana menteri.
“Sebenarnya, kalau tengok sejarah PRU ke-13, masa itu pakatan bertanding dengan tiga logo di bawah satu manifesto. Pengundi bagi sokongan, buktinya kita lihat pada peratusan undi majoriti. Pengundi bagi sokongan besar kerana melihat isu kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, tanpa memetik nama mana-mana calon, bakal perdana menteri pakatan harapan merupakan calon yang jauh lebih baik berbanding Datuk Seri Najib Razak, menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.
“PRU-14 nanti kami ajak BN bertarung berkenaan dasar dan idea. Yang pasti, bakal perdana menteri yang diangkat oleh PH, jauh lebih baik daripada perdana menteri sekarang.”
Sementara itu, isu logo PH yang turut menjadi perhatian umum ketika ini juga masih belum diputuskan.
Namun, menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, perkara itu bakal didedahkan beberapa hari lagi selepas kumpulan media Pakatan Harapan membuat pemilihan berdasarkan cadangan-cadangan yang diterima daripada orang ramai.
“Media Pakatan Harapan terima 317 cadangan logo daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk daripada golongan muda sehingga warga emas.
“Ada yang hantar melalui lakaran atas tisu sehingga ada yang menawarkan branding kit logo untuk PH. Ini satu sokongan daripada orang ramai kepada PH secara terang. Dalam masa beberapa hari kami akan umum proses berikutnya.”
Isu logo PH sebelum ini menjadi bahan ejekan di media sosial termasuk dari kalangan penyokong blok pembangkang itu sendiri berikutan cadangan logo yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli melalui akaun laman Facebooknya.
Tindakan tersebut sebaliknya menjadi kontroversi sehingga berlaku perang mulut antara bekas Setiausaha Agung PKR itu dan peguam kepada Anwar Ibrahim, Lateefa Koyah. – MalaysiaGazette