Home Sukan Shopee Piala FA: Kedah jumpa awal Pahang

Shopee Piala FA: Kedah jumpa awal Pahang

Undian pusingan kedua Shopee Piala FA 2020 melibatkan 32 pasukan yang terdiri daripada wakil Liga Super, Liga Premier, Liga M3 dan Liga M4.

KUALA LUMPUR – Pertembungan Kedah menentang Pahang paling mencuri tumpuan selepas kelab gergasi Utara dan Pantai Timur itu diundi bertemu dalam pusingan kedua Shopee Piala FA 2020.

Semalam, majlis undian pusingan kedua Shopee Piala FA 2020 melibatkan 32 pasukan yang terdiri daripada wakil Liga Super, Liga Premier, Liga M3 dan Liga M4 berlangsung di Kota Damansara.

Apa yang pasti, undian awal menyaksikan pertembungan juara bertahan, Kedah dengan Pahang bakal menjadi tumpuan penyokong bola sepak tempatan pada pusingan kedua Shopee Piala FA 2020, 17 dan 18 Mac depan.

Menurut Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin, beliau melihat keputusan undian tersebut adalah satu cabaran sihat kepada skuad Helang Merah menjelang saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Dalam masa yang sama, Shahrul turut optimis bahawa pertemuan menentang Pahang adalah ujian terbaik buat Kedah menguji kemampuan dalam misi melakarkan keputusan positif dalam Liga Malaysia musim 2020.

“Secara peribadi, keputusan undian menyaksikan Kedah menentang Pahang adalah satu perlawanan cukup bagus bagi kedua-dua pasukan. Umum mengetahui bahawa Pahang adalah salah satu pasukan gergasi negara.

“Saya melihat undian ini sudah pasti dinanti-nantikan penyokong di mana saya percaya satu perlawanan menarik dijangka berlaku dan Kedah sentiasa bersedia untuk memberikan persembahan terbaik bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas tamat majlis undian itu.

Dalam perkembangan lain, wakil Liga M3, KL Rovers berdepan ujian getir apabila diundi bertemu juara enam kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan kedua Shopee Piala FA 2020.

Jelas pemain tengah KL Rovers, Hafiz Kamal, dia tanpa berselindung mengakui tugas sukar menanti apabila bertemu pasukan bimbingan Benjamin Mora yang memiliki kualiti di setiap posisi.

“Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan ini adalah cabaran paling susah buat KL Rovers apabila kita bertemu dengan pasukan hebat seperti JDT.

“Namun ini juga kesempatan terbaik buat KL Rovers menguji kemampuan diri kami sendiri di mana kami berharap dapat mencipta kejutan ketika bertemu dengan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette