KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Wan Azizah prihatin terhadap kebajikan para pertugas media yang ‘berkampung’ di luar kediamannya bagi mendapatkan perkembangan terkini penubuhan kerajaan baharu berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri semalam.
Beliau yang didekati oleh para wartawan ketika mahu meninggalkan kediamannya di Segambut menasihati pengamal media supaya menjaga diri.
Ditanya destinasi yang dituju, bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu beliau mahu ke hopsital melawat ibunya yang sedang menerima rawatan di hospital.
“Saya pergi hospital tengok emak saya,” katanya sambil memandang para wartawan sambil tidak putus-putus melemparkan senyuman.
Isteri Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga menunjukkan sikap mengambil berat bertanya khabar pemberita sambil menyatakan kebimbangan mengenai tahap kesihatan mereka.
“You all dah ada air semua tak? soalnya.
Ditanya sama ada beliau akan menghadiri Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan malam ini di Ibu Pejabat PKR, Wan Azizah membalas dengan jawapan ringkas :”Insya-Allah”. – MalaysiaGazette