PUTRAJAYA – Melihat kepada kesukaran wartawan dan pengamal media yang bertugas dalam terik mentari di perkarangan Pejabat Perdana Menteri (PMO) berjanji untuk memasang dua biji khemah di pintu masuk laluan tetamu khas mulai esok.
Ia atas rasa prihatin terhadap nasib lebih 50 petugas media yang berkampung di dua pintu masuk utama bangunan pentadbiran Putrajaya itu sejak awal pagi tadi.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, langkah itu diambil pihaknya sebagai tanda keprihatinan PMO kepada petugas media.
“Kita tengok terlampau ramai, dan ini soal kebajikan. Jadi, kita bagi dua khemah untuk media berteduh.
“Kita juga akan siapkan kerusi untuk petugas media. Cumanya kita minta jasa baik petugas media untuk sama menjaganya,” katanya ringkas ketika ditemui media di pintu masuk PMO, hari ini.
Media hari ini berkampung di pintu masuk PMO bagi membuat liputan tentang perjumpaan beberapa pemimpin politik negara.
Antara yang hadir termasuklah Datuk Abang Johari Openg (pengerusi GPS), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu), Datuk Seri Anwar Ibrahim (presiden PKR), Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden Umno), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas), dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah).
Selain itu, kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Dr Mahathir juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah meninggalkan PKR.
Dr Mahathir dijangka bertemu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal esok. – MalaysiaGazette