Home Ekonomi Pakej rangsangan ekonomi tetap diteruskan

Pakej rangsangan ekonomi tetap diteruskan

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Pakej rangsangan ekonomi bagi mengatasi impak wabak Covid-19 akan tetap diteruskan meskipun negara sedang berhadapan dengan kemelut peralihan kuasa ketika ini.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tarikh baharu pengumuman pakej tersebut akan ditentukan oleh Perdana Menteri interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, komitmen tersebut dinyatakan Dr. Mahathir ketika mengadakan pertemuan dengannya di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

“Kementerian Kewangan dan saya telah memuktamadkan pakej rangsangan ekonomi tersebut pada hari Ahad, 23 Februari 2020 (iaitu hari terakhir saya sebagai Menteri Kewangan) untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri pada 24 Februari 2020.

“Walau bagaimanapun, YAB Tun telah meletakkan jawatan beliau pada 24 Februari 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Setiausaha Agung DAP itu, pertemuannya Dr. Mahathir pagi tadi adalah untuk membincangkan perkembangan politik negara serta pakej rangsangan ekonomi tersebut.

Pakej berkenaan sepatutnya diumumkan pada Khamis ini bagaimanapun tertangguh apabila Dr. Mahathir meletakkan jawatannya semalam dan menyebabkan semua jawatan kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik dibatalkan.- MalaysiaGazette