KUALA LUMPUR – Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mendakwa konsep yang cuba dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan kerajaan perpaduan masih kabur.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, definisi perpaduan yang difahami parti politik yang menguasai Parlimen atas mandat rakyat tidak semestinya menjadi ahli Kabinet.
Beliau mendakwa, Dr Mahathir telah menjadikan kuasa Perdana Menteri sebagai penentu tanpa perlu mengambil pandangan ketua-ketua parti secara konsensus untuk senarai Kabinet.
“Ini adalah ironinya kehadiran Pakatan Harapan (PH) adalah untuk mereformasikan instituisi kerajaan bagi memelihara kepentingan negara dan perpaduannya. Kehadiran PH di persada kuasa adalah atas mandat rakyat.
“Kehendak rakyat mahukan perubahan dengan usaha melawan rasuah, memulihkan tatakelola kewangan yang bobrok dan menuntut keperibadian pemimpin yang telus dan bertanggungjawab.
“Ini adalah hasrat murni untuk memelihara perpaduan dan PH cuba memenuhinya selama hampir dua tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mujahid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mempersoalkan mengapa pembentukan kerajaan dengan mandat dan dalam usaha memenuhi manifesto yang dipersetujui oleh parti-parti dalam PH dibuangkan begitu saja dan mahu diganti pula dengan konsep Kerajaan Perpaduan yang kabur.
Ujar, PH telah membawa usaha-usaha memulihkan negara dengan meletakkan dasar-dasar utama seperti termasuk memperkenal dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Negara Rahmah, Pelan Induk Memerangi Rasuah, dan Isytihar Harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen.
Akta-akta pula dibawa untuk memenuhi tuntutan reformasi Akta Parlimen, antara lain pengundian umur 18 tahun, menarik balik akta anti berita palsu, pindaan untuk memenuhi MA 1963 dan Akta Profesion Guaman Syarie dan lain-lain lagi, tambahnya.
“Kesemua usaha ini yang baru berumur tak sampai dua tahun diganggu-gugat dengan nuansa perkauman, agama sempit dan politiking berterusan oleh pembangkang yang menggugat stabiliti dan perpaduan.
“Sepatutnya kerajaan PH perlu dipertahankan kerana isunya bukan hendak menggantikan sistem dengan Kerajaan Perpaduan tetapi meneruskan usaha reformasi demi memelihara Perpaduan.
“Mereka yang menggangu-gugat perpaduan dengan berbagai sabotaj kepada usaha pemulihan termasuk Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain sepatutnya diambil tindakan bukan dengan cubaan menjatuhkan kerajaan PH yang hadir untuk perpaduan atas asas ketelusan dan demokrasi,” jelasnya.
Katanya lagi, mungkin apa yang pernah disebut oleh Dr Mahathir bahawa Kerajaan Perpaduan banyak cabarannya merupakan perkara betul tetapi menafikan usaha pembaharuan selama hampir dua tahun itu atas alasan politiking adalah keterlaluan. – MalaysiaGazette