Home Politik UMNO tunggu kenyataan rasmi Istana Negara – Annuar

UMNO tunggu kenyataan rasmi Istana Negara – Annuar

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa (kiri) mengagihkan KFC kepada para media selepas sidang media pada Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – UMNO mengambil jalan selamat apabila enggan mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang Dewan Rakyat akan bersidang pada 2 Mac ini bagi memilih perdana menteri yang baharu.

Setiausaha Agung parti itu, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya tidak mengguna pakai kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri interim.

Sebaliknya tegas beliau, UMNO hanya akan menunggu kenyataan rasmi dari Istana Negara sebelum membuat keputusan.

“Tiada apa-apa komen kerana itu kenyataan dari Tun Dr Mahathir. UMNO akan menunggu kenyataan rasmi dari Istana Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan Ketua-Ketua Bahagian UMNO bersama presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Mahathir pada sidang media di Putrajaya sebentar tadi bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan agar Dewan Rakyat menentukan siapakah yang paling layak dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 2 Mac ini.

Mahathir berkata, baginda mahu calon yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Annuar turut enggan mengulas gabungan parti baharu yang ditubuhkan di Johor melibatkan Muafakat Nasional bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang mana telah mendapat sokongan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding Pakatan Harapan yang mendapat sokongan daripada 26 ADUN sahaja.

Beliau berkata, UMNO menghormati Istana Johor dan proses pembentukan yang telah dijalankan itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong perkenan Dewan Rakyat tentukan Perdana Menteri ke-8 – Tun M

1 Komen

  1. Inilah masa terbaik untuk mengambarkan majlis Raja2 & YDPA mempunyai kuasa tertinggi untuk membubarkan parlimen.

    Ianya belum pernah terjadi dalam sejarah, masa terbaik untuk tunjukkan kuasa Raja2 & YDPA berlandaskan perlembagaan!

    Jom bubar!

Comments are closed.