KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu memilih sendiri siapa yang akan membentuk kerajaan negeri di dalam Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan berkata, langkah itu selari dengan apa yang akan dilakukan di Dewan Rakyat untuk pemilihan perdana menteri baharu.
“Selari dengan seruan kami sejak permulaan krisis politik ini, kami menggesa semua ADUN PH (Pakatan Harapan) yang meninggalkan PH untuk menyertai Barisan Nasional dan Pas dalam cubaan membentuk kerajaan baharu untuk meletakkan jawatan memandang mereka bertanding pada PRU-14 di atas tiket PH.
“Gagal berbuat demikian akan dianggap satu pengkhianatan kepada pengundi yang mengundi mereka sebagai calon PH pada PRU lepas,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, gesaan itu dibuat berikutan kenyataan media oleh Istana Johor hari ini bahawa gabungan baharu telah mengambil alih kerajaan Johor dengan 28 ADUN menyatakan sokongan kepada gabungan baharu sementara 26 ADUN memilih untuk bersama-sama PH.
Ujarnya, di dalam dewan yang mempunyai 56 ADUN, ia bermaksud terdapat dua lagi ADUN yang masih belum menyatakan sokongan mereka.
“Adalah dilaporkan bahawa dua ADUN tersebut adalah Datuk Salahuddin Ayub daripada Amanah dan Mazlan Bujang daripada PPBM.
“Kemungkinan sidang ADUN boleh tergantung dengan 28-28 sekiranya dua ADUN tersebut kekal bersama PH dan pengumuman kerajaan negeri yang baharu di persimpangan ini adalah pra-matang,” jelasnya.
Media hari ini melaporkan, Sultan Ibrahim berpuas hati dengan gabungan parti baharu yang ditubuhkan di negeri itu yang mana telah mendapat sokongan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding Pakatan Harapan yang mendapat sokongan daripada 26 ADUN sahaja.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Jaba Mohd Noah, Sultan Ibrahim sebelum itu telah memanggil 56 ADUN untuk ditemubual semalam.
Daripada jumlah tersebut dua ADUN iaitu Simpang Jeram dan Puteri Wangsa tidak dapat menghadirkan diri dalam sesi yang berlangsung selama dua jam di Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: