Home Ekonomi Pakej Rangsangan Ekonomi jadikan sektor pengangkutan mampan

Pakej Rangsangan Ekonomi jadikan sektor pengangkutan mampan

Deretan pesawat Air Asia di klia2, Sepang. foto MALAYSIA GAZETTE

KUALA LUMPUR – Pemberian baucer digital sebanyak RM100 bagi penerbangan domestik dan kereta api yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi akan menggalakkan permintaan terhadap pengangkutan awam khususnya pengangkutan udara dan kereta api.

Pemberian rebat terhadap kadar sewa premis kepada penyewa di lapangan terbang dan pengurangan caj pendaratan dan parkir bagi satu tempoh yang akan ditetapkan bakal memudahkan aliran tunai syarikat perniagaan dan syarikat penerbangan.

Ini akan dapat membantu syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang dan menjadikan mereka lebih mampan, kata Kementerian Pengangkutan.

Manakala pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan untuk tempoh 3 tahun bermula 1 April 2020 secara langsung akan membantu mengurangkan kos operasi serta meningkatkan tahap kecekapan operasi pelabuhan.

Katanya, impak serta-merta akan dapat dinikmati oleh beberapa pelabuhan persekutuan yang kini dalam fasa pembangunan dan pembesaran fasiliti sedia ada seperti projek Pembangunan Fasa 3 bagi Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, projek Pembangunan Container Terminal (CT) baru Pelabuhan Barat (Westport) di Pelabuhan Klang dan pembangunan projek New Deep Water Terminal (NDWT) di Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Bantuan kepada individu terkesan termasuk bayaran secara one-off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan B40.

Inisiatif ini akan membantu meringankan beban sara hidup pemandu teksi seluruh negara.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan akan memantau pelaksanaan pakej rangsangan ini bagi memastikan sektor pengangkutan terus berdaya saing dan menyediakan perkhidmatan yang cekap dan selamat demi kesejahteraan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette