Home Ekonomi Keuntungan sebelum cukai, zakat Affin Bank RM677j

Keuntungan sebelum cukai, zakat Affin Bank RM677j

KUALA LUMPUR – Kumpulan Affin Bank merekodkan keuntungan sebelum cukai selepas zakat (PBT) sebanyak RM677 juta bagi tahun kewangan berakhir 2019, peningkatan sebanyak RM2 juta atau 0.3% berbanding RM675.0 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi itu didorong oleh keuntungan bersih yang lebih tinggi daripada instrumen kewangan dan pendapatan perbankan
Islam yang masing-masing menyumbang sebanyak RM141.1 juta dan RM12.5 juta, diimbangi oleh pengurangan pendapatan faedah bersih dan pendapatan lain berjumlah RM142.4 juta.

Kumpulan juga mencatatkan peruntukan yang lebih rendah untuk kerugian rosot nilai sebanyak RM15.4 juta bagi tahun kewangan yang ditinjau.

Pendapatan sesaham (EPS) bagi TK2019 ialah 24.59 sen (TK2018: 25.89 sen) manakala aset bersih sesaham meningkat 5.4% kepada RM4.70 setakat 31 Disember 2019 (31 Disember 2018: RM4.46)

Manakala ekuiti pemegang saham kumpulan berada pada RM9.3 bilion (31 Disember 2018: RM8.7 bilion).

Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt berpuas hati dengan prestasi keseluruhan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, walaupun berdepan dengan persekitaran yang mencabar.

“Pertumbuhan kami didorong oleh Program AFFINITY yang mencapai kemajuan ketara setakat ini.

” Kebanyakan fokus pada tahun ini tertumpu kepada pelaburan dalam tenaga kerja dan teknologi kami, termasuk pelan digitalisasi yang menjadi penggerak penting dalam usaha kami untuk berada lebih dekat dengan para pelanggan serta meningkatkan pengalaman mereka,” katanya. – MalaysiaGazette