Home Ekonomi Tempoh enam bulan rangsangan ekonomi mencukupi

Tempoh enam bulan rangsangan ekonomi mencukupi

Johan Mahmood Merican

KUALA LUMPUR – Tempoh enam bulan di antara April dengan September 2020 yang dicadangkan kerajaan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 adalah memadai berdasarkan jangkaan mengenai penularan COVID-19.

Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Johan Mahmood Merican berkata, sebilangan pakar menjangkakan isu COVID-19 akan berakhir menjelang musim panas tahun ini.

“Justeru kita yakin tempoh enam bulan ini (bagi pakej rangsangan ekonomi Malaysia) sudah memadai,” katanya dalam program Buletin Bernama Khas: Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang disiarkan Bernama TV pada Khamis.

Beliau berkata, impak daripada penularan COVID-19 ke atas ekonomi dijangkakan berlarutan dalam tempoh enam bulan tersebut, selain menjejaskan syarikat dan perniagaan terutama dalam sektor pelancongan.

“Pakej Rangsangan Ekonomi ini bukan sesuatu yang ganjil untuk Malaysia. Malaysia pernah melalui pengalaman yang sama pada 2003 akibat daripada wabak SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk). Pada masa itu impak dari segi ekonomi juga hanya tertumpu dalam tempoh satu atau dua suku tahunan.

“Apa yang telah dirangka, terutama dalam strategi pertama pakej ini ialah bagaimana kita dapat membantu memudahkan dari segi aliran tunai syarikat-syarikat tersebut kerana mungkin (berlakunya) penurunan mendadak dari segi bilangan pelancong dari China dan negara-negara lain,” katanya.

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion diumumkan oleh Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis dalam usaha memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan.

Dalam masa yang sama, beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan, termasuk menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti. – MalaysiaGazette