KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak membawa elemen dari luar hingga boleh mencetuskan ketidaktenteraman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan, usaha membawa pihak asing untuk mencampuri hal ehwal pentadbiran negara sebagai satu pengkhianatan.
“Ada elemen sikit-sikit berbunyi kata ada elemen-elemen luar nak masuk ke dalam untuk membantu sesiapa pun.
“Itu saya dah ingatkan, itu satu pengkhianatan terhadap negara. Jangan libatkan orang luar, ini kita di dalam, perbalahan adik-beradik antara parti itu dan parti ini.
“Kalau di Parlimen boleh bertepuk bertampar, bergurau semua, kenapa kali ini keluar dari situ nak mencetuskan keadaan tidak baik kepada negara,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Istana Negara, petang ini.
Dalam pada itu, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak yang terus bersengkongkol dengan pihak luar.
“Saya beri amaran siapa yang nak bawa elemen-elemen dari luar, cita-cita nak bawa masuk, kalau saya dapat kesan saya akan ambil tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, PDRM juga mengingatkan mana-mana pihak tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan menyebarkan berita tidak benar khususnya apa yang berlaku dalam Istana Negara.
“Spekulasi kehadiran Panglima Angkatan Tentera kononnya bila memandu ke dalam kawasan Istana Negara dengan kereta rasmi dengan plat Z1 ini ada makna tertentu apabila Tuanku Agong menitahkan supaya datang menghadap.
“Ini jahat, ini satu permainan, perbuatan yang tidak bertangguhjawab, sedangkan kehadiran kami berdua atas titah Tuanku untuk mendapatkan taklimat terkini keamanan dan keselamatan seluruh negara,” tegasnya.
Abdul Hamid mengulangi jaminannya bahawa tahap keselamatan dan ketenteraman awam masih terkawal malah orang ramai tidak perlu gusar untuk meneruskan aktiviti harian.
“PDRM masih terus jalankan tanggungjawabnya
“Begitu juga dengan Angkatan Tentera, terus berkawal di sempadan, di perairan dan udara
“Orang ramai jangan bimbang, jalankan aktiviti hujung minggu, nak beriadah mana-mana silakan nak ke mana, jangan takut, keadaan sentiasa Insya-Allah akan terkawal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette