Home Nasional Polis beri amaran jangan sertai demonstrasi

Polis beri amaran jangan sertai demonstrasi

Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Orang ramai diberi amaran supaya tidak terpengaruh dengan sebarang jemputan untuk turun berdemonstrasi di Dataran Merdeka malam ini bagi membantah perkembangan krisis politik pelantikan perdana menteri kelapan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed juga memberi amaran supaya menghentikan sebarang perbuatan sedemikian yang boleh mengeruhkan keadaan ketenteraman awam ketika ini.

“Saya memberi peringatan dan amaran supaya jangan mendengar atau terpengaruh dengan ajakan mereka dan turun berdemo yang melanggari undang-undang.

“Walaupun kebebasan bersuara termaktub dalam Perlembagaan tidak semestinya disalahgunakan dan berdemonstrasi di atas jalan sesuka hati secara haram tanpa kebenaran pihak berkuasa polis.

“Ini bukan sahaja nasihat, malahan amaran juga kepada mereka yang berhajat nak turun malam ini, elakkan perbuatan itu dan patuhi undang-undang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga mengesahkan sedang menyiasat pemilik akaun Twitter yang mengajak orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka yang bertemakan pengkhianatan.

“Polis sudah kenalpasti seorang individu wanita dalam media sosial menyebarkan mesej ajak orang ramai turun ke Dataran Merdeka malam ini.

“Kita sudah kenalpasti identiti dia dan segala maklumat mengenainya dan kertas siasatan sudah dibuka ke atas wanita itu yang kini disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Kita akan siasat dia dan mengambil tindakan ke atasnya berlunaskan undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya.

Malahan, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi juga sudah diarahkan untuk memastikan anggoata dikerah memantau dan memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang.

“Saya sudah mengarahkan anggota polis di Dang Wangi untuk bertindak lanjut dalam perkara ini demi mengawal dan menjaga ketenteraman awam,” tegasnya.-MalaysiaGazette