KUALA LUMPUR – UMNO yakin dan percaya kerajaan baharu yang dipimpin Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan dapat meletakkan negara ini pada landasan yang betul.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan baharu ini yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional (PN) akan terus bergerak ke hadapan untuk membawa semula Malaysia ke kedudukan yang lebih baik.
“Pelantikan Muhyiddin ini membuktikan baginda Yang di-Pertuan Agong telah melakukannya dengan mengikut amalan demokrasi berparlimen.
“Sudah sampai ketikanya kita semua bergerak ke hadapan untuk membawa semula negara ini ke kedudukan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama pemimpin dan penyokong Muafakat Nasional (MN) mengadakan solat hajat sempena pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan di Masjid Wilayah hari ini.
Kata Shamsul Anuar, rakyat harus diutamakan dan perlu diberi pembelaan secukupnya berikutan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang runtuh akibat persengketaan sesama sendiri minggu lalu.
Mengenai majlis solat hajat itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, majlis itu sebagai tanda kesyukuran kepada Allah ke atas peralihan kuasa yang berlaku.
“Kita harap semua rakyat Malaysia dapat menerima keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – MalaysiaGazette