KUALA LUMPUR- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup membiarkan nafsu menguasai diri sehingga mengorbankan prinsip sendiri.
“Saya antara satu dua pemimpin UMNO tahun 2015 yang menziarahi @muhyiddinyassin apabila @najib_razak memecatnya sebagai TPM (Timbalan Perdana Menteri) kerana mempersoalkan dana RM2.6 bilion yang masuk akaun peribadi Najib.
“Kini apabila nafsu mengatasi prinsip – kesetiaan dan persaudaraan dikhianati,” katanya dalam satu hantaran di Instagram hari ini.
Mukhriz turut memuat naik sekeping foto beliau bersama Muhyiddin yang dipercayai diambil ketika beliau melawat Ahli Parlimen Pagoh itu selepas dipecat daripada jawatan TPM.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad masih belum habis “membebel” di Twitternya untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan Muhyiddin.
Katanya, Muhyiddin memang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri tetapi mengetahui beliau tidak mempunyai harapan sekiranya terus Pakatan Harapan.
“Suka pada penyamun? Pakatan Harapan bersih dan Melayu suka pada kotor?
“Sebenarnya kamu hendak jadi PM dan tidak ada harapan melalui PH,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Dalam satu ciapan kira-kira 15 minit selepas itu, Khalid menghantar satu lagi ciapan di Twitter meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada Muhyiddin.
“Dia (Muhyiddin) tidak mahu tunggu kerana kalau tunggu maka Najib dan Zahid tidak akan sokong dia untuk jadi PM.
“Maka bersama geng pengkhianat (Azmin) dan perompak (Najib), Muhyiddin dijadikan PM,” katanya sambil mengepil bersama pautan berita sebuah portal yang bertajuk “Dr. M: Saya sudah suruh tunggu sehingga perbicaraan kes rasuah selesai.” -MalaysiaGazette