Home Politik Saya berani kerana benar, kata Syed Saddiq

Saya berani kerana benar, kata Syed Saddiq

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir pada perjumpaan khas bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Senada dengan Datuk Mukhriz Mahathir, Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak kisah langsung jika ada tindakan seperti pecat terhadapnya.

Kata Syed Saddiq, beliau mendokong penuh kata-kata, ‘ berani kerana benar’ dan tidak akan sesekali berkompromi dengan apa sahaja yang melanggar prinsipnya.

“Saya masuk parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana menentang pemimpin yang salah guna kuasa serta rasuah. Saya berjuang untuk membersihkan politik.

“Sebagai pemimpin muda, slogan yang telah diajar kepada kami dalam parti ini adalah ‘berani kerana benar’.

“Saya tidak akan sesekali bersetuju dengan tindakan bekerjasama dengan UMNO secara en-bloc yang mana bukan sahaja parti ini besar secara keseluruhan sebaliknya ada segelintir pimpinan sudah terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa.

“Saya tidak akan sesekali bersekongkol dengan pemimpin UMNO seperti ini.

“Jadi seandainya ada apa-apa tindakan parti ke atas saya, biarlah,” katanya selepas mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian Armada bersama Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana sebentar tadi.

Hari ini, Lembaga Disiplin PPBM diminta memecat Syed Saddiq sebagai ketua armada parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof mencadangkan Exco Armada, Muzammil Ismail sebagai pemangku sementara pemilihan semula ketua Armada dilakukan.

Ada juga mencadangkan ahli pimpinan parti itu iaitu Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dikenakan tindakan pemecatan kerana menentang Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mukhriz dan Syed Saddiq antara pimpinan Bersatu yang bertindak menyokong bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad. -MalaysiaGazette