Home Nasional DBKU nafi peniaga bakal tidak dibenarkan beroperasi di Tebingan Kuching

DBKU nafi peniaga bakal tidak dibenarkan beroperasi di Tebingan Kuching

Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Junaidi Reduan berkata DBKU tidak pernah membuat keputusan sedemikian dalam perancangannya untuk menambah baik persekitaran tebingan itu.

KUCHING – Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pihaknya merancang untuk tidak membenarkan peniaga beroperasi di Tebingan Kuching mulai bulan ini bagi menjaga kebersihan kawasan pelancongan terbabit.

Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Junaidi Reduan berkata DBKU tidak pernah membuat keputusan sedemikian dalam perancangannya untuk menambah baik persekitaran tebingan itu.

“Kami sedang melihat pelan keseluruhan kawasan ini namun ini tidak bermakna kami akan menghalau mereka (peniaga) dari kawasan ini,” katanya pada acara “Plogging WalkAbout With Mayor” anjuran DBKU dan Trienekens Sdn Bhd di Tebingan Kuching, di sini.

Menurutnya, DBKU setakat ini hanya memutuskan untuk mengindahkan lagi Tebingan Kuching supaya dapat mengembalikan kegemilangannya sebagai ikon pelancongan bandar raya ini dan dakwaan akan menghalau peniaga dari situ hanyalah khabar angin semata-mata.

Katanya kini terdapat sekitar 60 peniaga berdaftar di Tebingan Kuching dan DBKU sentiasa memantau kawasan itu bagi mengelakkan peniaga haram bertapak di situ.

— BERNAMA