KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini ditangguh esok.
Ini kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu perlu berbincang dengan Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk Kabinet baharu di Putrajaya.
Permohonan penangguhan itu dibuat oleh pasukan pembelaan Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Menurut peguambelanya, Hisyam Teh Poh Teik, kehadiran anak guamnya diperlukan dalam pertemuan bersama Muhyiddin.
“Kami memohon mahkamah membenarkan penangguhan untuk prosiding hari ini. Tertuduh perlu hadir dalam perbincangan dengan perdana menteri berhubung pembentukan Kabinet hari ini. Jadi, kehadiran beliau diperlukan,” katanya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan tersebut dan kes bersambung esok dan Ahmad Zahid dibenarkan pergi ke Putrajaya hari ini.
Ahmad Zahid berdepan 47 tuduhan, membabitkan 12 kes pecah amanah, 27 kes pengubahan wang haram dan lapan kes rasuah.
Ahmad Zahid didakwa pecah amanah terhadap RM31 juta dana Yayasan Akalbudi, menerima rasuah sejumlah RM21.25 juta, dan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM65 juta, dan dengan wang itu turut membeli dua unit banglo bernilai RM5.9 juta.
Sehingga ini, perbicaraan yang memasuki hari ke-18 menyaksikan pihak pendakwaan telah memanggil 38 saksi untuk memberi keterangan.
– MalaysiaGazette